Pemerhati Rasuah Malaysia mohon bantuan orang awam salur dana beli pejabat sendiri

Pemerhati Rasuah Malaysia mohon bantuan orang awam salur dana beli pejabat sendiri

Oleh Azrul Hakimie Anuer -March 29, 2024

PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) kini dalam usaha untuk mengumpulkan dana membeli ibu pejabat sedia ada yang disewa sejak 10 tahun lalu pada harga RM250,000.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, setakat ini pihaknya sudah mengumpul wang sebanyak RM40,000 hasil daripada kutipan yang dilakukan dalam kalangan ahli-ahli di seluruh negara.

Katanya, bagi jumlah yang dikehendaki pemilik ianya perlu disediakan sebelum bulan Disember tahun ini, jika benar MCW berhasrat untuk memiliki pejabat yang terletak di Prima Saujana, Kajang itu secara kekal.

Sehubungan itu, beliau dengan rasa rendah diri berharap orang awam dapat membantu MCW dalam misi ini demi menjamin usaha anti-rasuah akan dapat diperkukuhkan pada masa hadapan.

“Pemiliknya (pejabat) menawarkan harga yang sama di mana dia beli 15 tahun lepas. Jadi kami mahu perluaskan pengumpulan dana ini kepada awam yang mahu menyumbang kepada perjuangan anti-rasuah ini.

“MCW sebagai NGO anti-rasuah paling aktif di negara ini memang memerlukan sangat bantuan daripada masyarakat untuk membolehkan kami meneruskan perjuangan ini.

“Kita ada seorang kakitangan sepenuh masa dan lima orang sukarelawan yang bertugas di ibu pejabat. Adalah menjadi harapan tinggi agar masyarakat dapat menyokong,” katanya ketika dihubungi UtusanTV, hari ini.

Jais menambah, selain mendapatkan sumbangan daripada orang awam, pihaknya ada menghantar surat kepada badan-badan korporat dalam merealisasikan usaha tersebut.

Pada masa sama, MCW merancang untuk menganjurkan konvensyen anti-rasuah kebangsaan dengan hasrat dapat menjual meja jamuan kepada pihak-pihak berminat dan sudi membantu.

“Kita ada dua pelan b, yang pertama sudah berjalan iaitu kita sedang meminta sumbangan daripada pihak korporat. Kita cadang anjurkan konvensyen pada awal September,” katanya lagi.

Untuk sebarang maklumat dan berhasrat untuk menghulurkan bantuan, orang ramai boleh menghubungi Jais sendiri di talian 010 5431472.

Pemerhati Rasuah Malaysia mohon bantuan orang awam salur dana beli pejabat sendiri