PUNCA-PUNCA BERLAKU JENAYAH RASUAH

BAB 26
PUNCA-PUNCA BERLAKU JENAYAH RASUAH
Ada pelbagai faktor boleh dikaitkan mengapa seseorang itu melakukan jenayah rasuah. Di antara punca utama berlaku jenayah rasuah khususnya melibatkan pegawai awam, pekerja swasta, ahli-ahli politik dan anggota pentadbiran seperti Menteri atau Timbalan Menteri Kabinet adalah disebabkan oleh;
1) Kelemahan Individu
Lemah didikan agama atau lemah daya tahan iman. lanya seumpama jika antibodi seseorang itu lemah, dia akan mudah diserang penyakit. Begitu juga apabila seseorang itu lemah daya tahan iman dalam dirinya, penyakit-penyakit hati akan mudah meresapi ke dalam dirinya. Antaranya ialah mempunyai perasaan tamak, mahu cepat kaya, suka berbelanja melebihi pendapatan bulanan dan keinginan hidup mewah tanpa mengira halal atau haram. Ada kes di mana kelemahan individu itu berpunca dari tekanan hidup atau menanggung bebanan hutang banyak mendorong dia melakukan jenayah. Apatah lagi ada ruang dan peluang iaitu dengan jawatan atau kuasa yang ada, dia akan sanggup melakukan jenayah rasuah.
Dalam kalangan pelaku-pelaku jenayah rasuah, mereka sedar dan mengetahui perbuatan itu salah di sisi agama, moral dan undang-undang negara, tetapi masih melakukan perbuatan tersebut dengan mengemukakan pelbagai alasan dan helah bela diri seperti alasan desakan hidup kerana pendapatan bulanan kecil sedangkan tanggungan anak-anak ramai, bebanan hutang, terpaksa Ibubapa dan adik-adik di kampung, kos hidup di bandar tinggi, terpaksa menjaga hati rakan setugas yang terima suapan rasuah dan pelbagai alasan lain.
) Salahguna jawatan yang diamanahkan
2 Melalui jawatan dan kuasa, mereka yang terlibat sanggup mengabaikan amanah atau kedudukan untuk dapatkan suapan dalam membuat keputusan meluluskan tender, permit atau lesen untuk diri sendiri, saudara-mara atau sekutunya yang ada kepentingan.
Apabila manusia meminggirkan integriti dalam hidupnya, maka dia akan mudah kalah dengan nafsu syahwat dan terdorong melakukan jenayah rasuah. Hilang keyakinan dan kepercayaan orang sehingga suasana penuh syak wasangka, terserlah budaya pentingkan diri sendiri dan hidupnya prinsip matlamat menghalalkan semua cara.
3) Kelemahan Organisasi
Kelemahan kepimpinan iaitu pemimpin kurang teladan, lemah iltizam dan tidak cekap. Kelemahan kawalan dalaman seperti lemah pengawasan dan penyeliaan ke atas pegawai bawahan. Kelemahan ini boleh menyebabkan berlaku ketidakcekapan serta membuka ruang dan peluang kepada pegawai bawahan melakukan jenayah rasuah.
Kelemahan sistem dan prosedur kerja seperti tatacara kerja lemah, kurang telus, sistem dan prosedur yang lapuk, peraturan tidak dikuat kuasa atau penguatkuasaan terpilih. Penggunaan budi bicara tanpa garis panduan dan karenah birokrasi juga membuka ruang dan peluang berlaku jenayah rasuah.
Penurunan kuasa tanpa kawalan pula ialah pihak atasan tidak selia, tidak semak atau gagal mengawalselia pegawai bawahan. Apa yang menjadi parah lagi apabila Ketua Jabatan atau pegawai kanan sendiri terlibat dengan jenayah rasuah jadi ikutan pegawai bawahan.
Jenayah rasuah juga berpunca dari faktor warga jabatan atau organisasi tidak peduli dan sikap tidak ambil tahu tentang isu-isu atau perilaku jenayah rasuah berlaku di persekitaran pejabat mereka. Mereka juga beranggapan sekiranya ada mendengar atau mengetahui dalam kalangan rakan sekerja mereka terlibat dengan amalan rasuah, itu masalah peribadi masing-masing dan mereka tidak perlu ambil tahu.
KESAN LEMAH KAWALAN DALAMAN
Pembaziran masa
Jenayah Rasuah
Menjejaskan Imej Jabatan
Kurang Kualiti dan Produktiviti
Pembaziran Sumber Kewangan
Peningkatan Aduan Awam
Kelewatan Menyiapkan Tugasan
4) Faktor Sosial Dan Persekitaran
Dalam konteks negara ini yang terdiri dari rakyat pelbagai kaum dan agama yang mempunyai pelbagai budaya, tradisi dan adat resam. Pemberian hadiah merupakan sebahagian daripada amalan tradisi kaum-kaum di Malaysia. Sebagai contoh, angpau bagi masyarakat Cina dan buah tangan bagi masyarakat Melayu.
Adakalanya dalam proses memberi dan menerima hadiah itu wujud suasana ‘termakan budi’ atau pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan dari keadaan ini untuk faedah mereka. Sikap menyatakan rasa terima kasih dalam bentuk pemberian hadiah kepada pegawai awam atau swasta terhadap tugas-tugas rasmi yang telah dilakukan adalah mendekatkan diri seseorang itu dengan perlakuan jenayah rasuah. Sekiranya ini menjadi amalan dan tiada pihak yang berani menghentikan perbuatan tersebut. Akibatnya, ianya akan mendorong seseorang itu melakukan jenayah rasuah.
Jenayah rasuah juga berpunca dari kelemahan individu sesebuah masyarakat itu, sehingga menjadikan perbuatan jenayah rasuah dianggap sebagai suatu amalan tradisi atau tuntutan semasa yang berselindung di sebalik istilah wang komisen, duit kopi, upah dan sebagainya. Apabila masyarakat menganggap amalan suapan rasuah menjadi tradisi, maka generasi berikutnya dengan mudah mengikut kebiasaan buruk tersebut.
Masyarakat tidak peduli dan sikap tidak ambil tahu tentang berlaku dalam persekitaran pejabat dan kehidupan sosial. Malah sikap dalam kalangan ahli masyarakat beranggapan suapan rasuah sebagai amalan biasa dalam urusan jabatan kerajaan atau perniagaan, hanya menyuburkan perlakuan jenayah rasuah tersebut.
Masih ramai dalam kalangan orang awam takut membuat laporan atau aduan kes jenayah rasuah kepada SPRM kerana kasihan pegawai awam yang terlibat jenayah rasuah. Ada pula dalam kalangan pegawai awam tidak melaporkan perbuatan rasuah melibatkan pegawai bawahan atau rakan setugas atau orang ramai tidak melaporkan perbuatan rasuah melibatkan pegawai awam kerana berpegang kepada konsep yang salah seperti sikap “jangan jaga tepi kain orang”, “jangan tabur pasir dalam periuk nasi orang”. Hal ini menyebabkan perasuah semakin berani kerana mereka tahu perbuatan mereka tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
5) Faktor Kepesatan Pembangunan Ekonomi Adalah terlalu subjektif untuk menunjukkan hubung kait dengan tepat di antara amalan jenayah rasuah dengan kadar kepesatan pembangunan sosio-ekonomi. Walaupun kita sukar untuk mengumpul dan memperoleh data-data statistik yang tepat, tetapi kita dapat perhatikan bahawa kadar jenayah rasuah juga akan meningkat dengan kepesatan proses pembangunan dan modenisasi di dalam negara ini. Hal ini dapat dirumuskan bahawa kadar jenayah rasuah meningkat bukan sahaja dilihat dari sudut siapa tokoh terlibat atau jumlah nilai rasuah, tetapi perlu dilihat dari sudut keluasan sektor atau perkhidmatan yang terdedah kepada kerakusan jenayah rasuah itu sendiri.
Semakin banyak peluang-peluang perniagaan dalam sektor perkhidmatan dan pembangunan khususnya melibatkan projek-projek infrastruktur luar bandar dan telekomunikasi dilaksanakan, semakin banyak transaksi suapan rasuah berlaku dan semakin mahal projek itu, semakin tinggilah nilai suapannya. Keadaan sedemikian wujud kerana kepesatan pembangunan dan kegiatan ekonomi. Lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan, lebih banyak dana awam atau peruntukan kerajaan disalurkan untuk tujuan tersebut.
Projek-projek pembangunan ini memberi peluang kepada pegawai awam khususnya untuk mendapatkan wang dan mengaut keuntungan segera. Pihak-pihak yang terlibat dengan projek-projek ini ada yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.
Di samping itu, tekanan modenisasi khususnya sikap berlumba-lumba untuk hidup mewah atau suka berbelanja melebihi pendapatan dengan jalan singkat dengan mengambil kesempatan atau mendapatkan manfaat dari pengurusan perolehan seperti tender atau sebutharga projek-projek pembangunan atau perkhidmatan kerajaan akan mendorong seseorang pegawai awam melakukan jenayah rasuah.
Kontraktor atau ahli perniagaan akan cuba menawan hati pegawai-pegawai awam atau ahli-ahli politik untuk memperoleh projek-projek atau kontrak melalui suapan rasuah sebagai umpan seperti melancong ke luar negara, menghadiahkan kereta mewah, hartanah, pegangan saham dalam syarikat atau barang kemas.
6) Faktor Politik Sebagaimana yang diketahui umum, politik ialah satu permainan kuasa. Siapa yang berkuasa boleh melakukan apa sahaja dengan kuasa yang ada padanya. Ramai orang beranggapan bahawa, kuasa boleh mengangkat status dan kedudukan seseorang itu. Dengan sebab itu, ada sesetengah pihak yang gilakan kuasa dalam merebut jawatan dalam parti politik, melobi supaya diangkat sebagai calon dalam pilihan raya atau jawatan sebagai anggota pentadbiran seperti Menteri atau Timbalan Menteri Kabinet. Akibatnya untuk berkuasa mereka sanggup melakukan apa saja asalkan mereka dapat memperoleh dan mengekalkan kuasa. Mereka akan sanggup menabur pelbagai janji seperti tawaran pekerjaan tetap, kontrak perkhidmatan, projek pembinaan, projek infrastruktur, meningkatkan subsidi, menghapuskan pinjaman pendidikan, menurunkan harga bahan api dan peluang pelaburan asalkan mereka dapat berkuasa.
Ada dalam kalangan ahli-ahli politik pula, menggunakan kedudukan jawatan dalam agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah untuk kepentingan peribadi dengan memberikan kontrak, lesen, permit, saham dan jawatan kepada ahli keluarga, saudara mara, kroninya atau suku sakatnya.
Sekiranya kuasa berada dalam tangan orang-orang yang tamak kuasa dan merebut atau memperoleh harta kekayaan secara haram melalui jenayah rasuah akan memusnahkan kesejahteraan rakyat dan negara. Agensi atau GLC yang dipengerusikan olehnya atau jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah akan terdedah kepada risiko kerugian, jenayah rasuah atau kepincangan dalam tadbir urus.
Semua reaksi:

1