LATAR BELAKANG MCW

Pertubuhan ini didaftarkan dengan nama Pemerhati Rasuah Malaysia atau “Malaysia Corruption Watch” (MCW) pada 24 Julai 2017 menerusi Pendaftar Pertubuhan Malaysia dengan nombor pendaftaran PPM-010-14-24072017.

 

Malaysia Corruption Watch (MCW) adalah sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berpusat di Kuala Lumpur, Malaysia. MCW ditubuhkan oleh sekumpulan rakyat Malaysia, terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang amat bencikan rasuah. MCW mahu bertindak agresif sebagai pemerhati yang aktif, mempunyai peranan penting bagi membantu pihak SPRM dan kerajaan dalam usaha menurunkan kadar jenayah rasuah di dalam negara. MCW juga mahu terkehadapan sebagai “pemimpin pendapat orang awam” untuk mengetengahkan idea dan memastikan penambahbaikan terhadap strategi memerangi rasuah negara dengan lebih mampan.

 

MCW mengamalkan prinsip pergerakan berdasar moto ‘’Komited. Agresif. Perangi Rasuah’’.  Atas kesedaran dan rasa tanggungjawab ini, kami ingin menjadikan MCW sebagai sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan yang terlibat secara langsung menjalankan aktiviti atau program antirasuah yang dilaksanakan oleh kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

MCW mempunyai matlamat spesifik seperti yang digariskan dalam objektif penubuhan dan mengamalkan pendekatan antarabangsa yang bersesuaian dengan undang-undang Malaysia untuk menangani isu di dalam negara bagi memastikan pelaksanaan objektif utama MCW, mencapai matlamat. MCW akan bertindak sebagai pendesak dan melaporkan kejadian rasuah kepada pihak berkuasa iaitu SPRM. MCW komited untuk terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti pencegahan rasuah melalui pendidikan, perubahan budaya dan pelbagai cadangan kritikal yang akan dikemukakan bagi menambah baik sistem pencegahan rasuah di Malaysia. Kami mahu bekerjasama dengan pelbagai NGO, organisasi swasta dan agensi kerajaan yang berminat dengan isu ini.

 

Antara objektif utama MCW adalah untuk menggalakkan penyertaan masyarakat agar lebih aktif melaporkan salah laku atau kejadian rasuah dalam memerangi gejala rasuah di Malaysia.

 

MCW juga memfokus enam (6) gerakan utama ini:

  • Undang-undang dan Pemantauan Hal Perundangan
  • Rasuah Politik
  • Penyelidikan dan Kajian
  • Perhubungan dan Dana Awam
  • Menyokong gerakan antirasuah kerajaan pemerintah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
  • Program Pendidikan Antirasuah dan Integriti