SOAL JAWAB PENERIMAAN DAN PEMBERIAN HADIAH DAN KAITAN DENGAN JENAYAH RASUAH

BAB 23
SOAL JAWAB PENERIMAAN DAN PEMBERIAN HADIAH DAN KAITAN DENGAN JENAYAH RASUAH
Kenapakah Penerimaan Hadiah Yang Kecil Nilainya Adalah Dianggap Jenayah Rasuah?
Penerimaan hadiah berupa hamper, telefon bimbit, pen, jam tangan, duit raya atau angpau tidak kira kecil atau besar nilainya adalah menjadi satu kesalahan jenayah rasuah sekiranya pekerja atau pegawai awam itu yang mempunyai majikan menerima hadiah bagi sesuatu perkhidmatan atau tugasan melibatkan urusan rasmi pekerja atau pegawai awam itu dengan syarikat atau pembekal tersebut.
Hal ini bermakna, sekiranya ada pegawai awam menerima hadiah itu walaupun kecil nilainya dalam menjalankan tugas rasminya, dia boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Akta SPRM 2009 atau tindakan tatatertib mengikut bentuk kesalahan oleh majikannya. Hal ini bermakna bentuk kesalahan ini tidak terikat kepada pegawai awam sahaja malah melibatkan pekerja sektor swasta.
(Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Ceraian UP.7.2.5-Tatacara Pemberian Dan Penerimaan Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam)
Bolehkah Pegawai Awam Itu Menerima Hadiah Seperti Duit Raya Atau Angpau Dalam Musim Perayaan?
Pegawai awam tidak boleh menerima hadiah dalam apa bentuk sekalipun seperti hamper, limau mandarin, angpau dan lain-lain daripada mana-mana orang yang ada hubungan dengan tugas rasminya seperti kontraktor atau syarikat yang telah memperoleh kontrak atau tender daripada jabatannya. Penerimaan hadiah sebegitu dianggap menerima suapan rasuah.
Jika merujuk kepada Para 12, Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Ceraian UP.7.2.5-Tatacara Pemberian Dan Penerimaan Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam; dan Para 8(1), Peraturan- Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, pegawai awam tidak boleh menerima apa-apa hadiah atau barang berharga yang ada kaitan dengan tugas rasminya. Sebagai contoh hadiah berupa angpau atau duit raya yang diberikan oleh pembekal, kontraktor atau syarikat yang ada kontrak atau tender dengan jabatannya pada musim perayaan dan pegawai itu terlibat dalam urusan rasmi dengan pihak tersebut.
Walau bagaimanapun dalam keadaan yang sukar ditolak seperti dalam majlis rasmi dan dia merasa ragu-ragu maka dengan seberapa segera melaporkan secara bertulis kepada ketua jabatannya. Ketua Jabatan hendaklah mengarahkan pegawai bawahannya itu melaporkan kepada SPRM secepat mungkin jika penerimaan hadiah itu melibatkan tugas rasmi pegawai itu.
Bolehkah Seorang Pegawai Awam Itu Menerima Hadiah Yang Tiada Kaitan Dengan Tugas Rasminya?
Boleh diterima tetapi hendaklah sepadan iaitu nilainya (dalam bentuk wang) kurang seperempat (%) daripada emolumen bulanan atau kurang RM500.00, mana yang lebih rendah bagi maksud hadiah yang diterima daripada mana-mana orang yang tiada hubungan rasmi dengan pegawai awam itu. Beliau tidak perlu melaporkan kepada ketua jabatannya.
Sekiranya tidak sepadan iaitu melebihi emolumen bulanan atau melebihi RM 500.00, mana yang lebih rendah. Penerimaan hadiah itu perlu dilaporkan kepada ketua jabatannya untuk kelulusan melalui Borang Lampiran UP.7.2.5 (A), Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Ceraian UP.7.2.5-Tatacara Pemberian Dan Penerimaan Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam.
Walau bagaimanapun, nilainya melebihi RM 500.00 dianggap sepadan jika ianya diterima dalam keadaan tertentu seperti hadiah diterima daripada ahli keluarga terdekat, saudaranya atau rakannya yang tiada urusan rasmi dengan pegawai awam itu sempena persaraan, pertukaran, pertunangan pegawai dan perkahwinan pegawai itu. Sekiranya pegawai awam masih ragu- ragu maka beliau boleh melaporkan penerimaan hadiah itu kepada ketua jabatannya.
Apakah Perlu Dilakukan Sekiranya Hadiah Seperti Hamper Diletakkan Di Atas Meja Pegawai Di Mana Pemberinya Tidak Diketahui?
Bagi keadaan sedemikian, pegawai awam berkenaan dinasihati untuk melaporkan kepada ketua jabatannya untuk membuat keputusan. Tindakan sedemikian itu, adalah bertujuan untuk menyelamatkan pegawai awam itu daripada ditohmah oleh pihak tertentu.
Sekiranya Ketua Jabatan memutuskan hadiah atau hamper tersebut diletakkan di pejabat atau dipulangkan kembali kepada pihak yang menghantarnya sekiranya dapat dikesan. Arahan tersebut perlu dipatuhi. Sebaiknya hadiah tersebut didermakan kepada badan kebajikan seperti rumah anak yatim dan rumah kebajikan orang-orang tua.
Bagaimanakah Tindakan, Sekiranya Penerimaan Hadiah Itu Oleh Pegawai Awam Yang Sukar Ditolak?
Mengikut Para 9, Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Ceraian UP.7.2.5- Tatacara Pemberian Dan Penerimaan Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam. Sepanjang tempoh pegawai awam menjalankan tugas rasmi, ada kalanya mereka menghadapi kesukaran untuk menolak pemberian hadiah kerana ia akan memalukan si pemberi atau menimbulkan keadaan serba salah. Contohnya sewaktu menghadiri perasmian seminar, simposium atau kursus atau mana-mana majlis rasmi termasuk di peringkat antarabangsa di mana pihak penganjur tidak memaklumkan pemberian hadiah terlebih dahulu; atau semasa menjalankan tugas rasmi di daerah atau kampung di mana masyarakat atau pemimpin setempat telah memberi buah-buahan atau hasil kerja tangan penduduk kampung atau sebagainya.
Dalam keadaan sukar untuk menolak pemberian hadiah itu, pegawai awam berkenaan dibenarkan menerima hadiah tersebut dan kemudiannya sekembalinya di pejabat, beliau hendaklah melaporkan kepada ketua jabatannya dengan menggunakan borang di Lampiran UP.7.2.5 (A) Pekeliling tersebut.
Walau bagaimanapun, bagi memudahkan urusan pentadbiran, pegawai awam itu dikehendaki hanya melaporkan sahaja kepada Ketua Jabatan dengan menggunakan borang seperti di Lampiran UP.7.2.5 (B) Pekeliling ini tanpa kelulusan Ketua Jabatan, jika pemberian hadiah yang sukar ditolak itu adalah:
a) Nilainya kurang daripada RM100.00;
b) Berbentuk lencana atau “pennant” atau barang-barang kraftangan yang dihasilkan sendiri oleh jabatan kerajaan berkenaan atau apa-apa bentuk bahan bercetak yang berkaitan jabatan itu dan bertujuan untuk promosi; atau
c) Dalam bentuk barang-barang yang cepat rosak dan tidak tahan lama seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kuih- muih, minuman ringan, bunga dan sebagainya.
Sehubungan dengan itu, semua pegawai awam perlu mematuhi peraturan ini bagi mengelak dari berlaku tohmahan yang sudah tentu menyulitkan pegawai awam itu menepisnya.
Gambar Hiasan: Hampir semua anggota pentadbiran dan pegawai awam menyedari dan sedia maklum bahawa, salah satu operasi siasatan SPRM ada ketikanya memerlukan seseorang itu ditangkap bagi mendapatkan keterangan saksi, menahan suspek lain dan mendapatkan dokumen berkaitan dengan segera. Proses siasatan ini bukan boleh disiapkan segera dalam tempoh 24 jam tetapi memakan masa. Ada kalanya suspek yang disiasat akan meringkuk dalam lokap SPRM beberapa hari. Sebelum hal ini berlaku kepada anda, pastikan anda tidak terlibat dengan jenayah rasuah.
Sebuah Syarikat Swasta Telah Ditawarkan Tender Membekal Peralatan Untuk Jabatan. Bolehkah Jabatan Terlibat Menerima Sumbangan Berbentuk Hadiah Untuk Meraikan Hari Keluarga Jabatan?
Jabatan kerajaan dibenarkan menerima hadiah daripada pihak swasta atau mana-mana pihak lain dan penerimaan hadiah itu mestilah mendapat kebenaran daripada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian atau Pegawai Pengawal sesebuah jabatan itu dan tertakluk kepada syarat-syarat seperti ditetapkan di Lampiran UP.7.2.5 (D), Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Ceraian UP.7.2.5-Tatacara Pemberian Dan Penerimaan Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam. Di antara syarat-syarat adalah;
a) Hadiah diterima itu hendaklah diberikan oleh penderma secara percuma dan tanpa sebarang syarat dan ikatan. Penderma pula tidak mempunyai apa-apa kepentingan dengan kerajaan seperti tidak mendapat kontrak atau tender dengan jabatan berkenaan;
b) Hendaklah dipastikan barang-barang atau peralatan yang dihadiahkan adalah yang belum terpakai atau alat-alat gantinya pula mudah diperoleh serta memberi manfaat atau faedah kepada jabatan atau negara amnya;
c) Sesuatu hadiah itu yang diberikan oleh penderma secara sukarela dan bukan atas permintaan jabatan kerajaan itu; dan
d) Jabatan kerajaan adalah dilarang menjalankan usaha bagi mendapatkan hadiah atau derma dari mana-mana pihak sama ada pertubuhan atau orang perseorangan.
Bolehkah Kelab Kebajikan Dan Sukan Jabatan Meminta Dan Menerima Apa-Apa Sumbangan Berupa Barangan Atau Wang Daripada Pihak Luar Yang Tiada Hubungan Rasmi?
Kelab Kebajikan dan Sukan sesebuah jabatan berkaitan tidak boleh memohon, menghubungi terus atau menerima apa-apa sumbangan secara terus daripada mana-mana penyumbang sama ada orang perseorangan atau syarikat swasta untuk mendapatkan bantuan kewangan atau hadiah dengan apa cara sekalipun bagi membiayai aktiviti-aktiviti mereka.
Walau bagaimanapun, apa-apa sahaja sumbangan yang hendak disumbangkan kepada mana-mana Kelab Kebajikan dan Sukan jabatan kerajaan oleh syarikat-syarikat swasta dan orang awam hendaklah disalurkan kepada Majlis Sukan dan Kebajikan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK). Kelab Kebajikan dan Sukan di peringkat jabatan bolehlah membuat permohonan kepada MAKSAK bagi mendapatkan peruntukan masing-masing.
Perlu dijelaskan bahawa apa-apa sumbangan yang diperoleh hendaklah dipastikan tiada unsur paksaan, tidak menimbulkan syak dan keraguan serta beban kepada mana-mana pihak agar ianya tidak mencemarkan nama baik jabatan dan perkhidmatan awam keseluruhannya. Sumbangan yang diperoleh itu perlu mengambil kira dari segi jumlah dan kekerapan sumbangan tersebut yang diterima. Di samping itu, hendaklah digunakan untuk tujuan aktiviti-aktiviti kelab jabatan berkenaan dan hendaklah mempunyai penyata kira-kira yang boleh disemak dan dirujuk.
(Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Ceraian UP.7.2.5-Tatacara Pemberian Dan Penerimaan Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam dan Garis Panduan Permohonan Kutipan Dan Penerimaan Hadiah Atau Sumbangan Oleh Kelab Kebajikan Dan Sukan Agensi Awam bertarikh 15 Februari 2013)
Bolehkah Persatuan Atau Pertubuhan Yang Dikendalikan Oleh Pegawai Awam Membuat Pungutan Derma Atau Tajaan Untuk Mengisi Tabung Persatuan Atau Pertubuhan?
Boleh. Walau bagaimanapun ianya tertakluk kepada Akta Pungutan Rumah Ke Rumah Dan Dijalan 1947 dan Surat Pekeliling Am Bil. 6 Tahun 1987. Kutipan derma yang dijalankan selain melalui cara dibenarkan oleh Akta tersebut hendaklah dikawal dan mematuhi Surat Pekeliling Am Bil. 6, Tahun 1978 dan mana- mana Akta atau undang-undang atau peraturan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang berkenaan. Hal ini bermakna hanya persatuan atau pertubuhan yang berdaftar dan dikendalikan oleh pegawai awam sesebuah jabatan itu perlu mendapat kebenaran bertulis dari kementerian masing-masing.
Contohnya Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Kastam telah diwujudkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan jabatan itu di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan Malaysia (MOF). Maka jabatan itu perlu mendapatkan kebenaran dari Kementerian Kewangan terlebih dahulu untuk mendapat kelulusan.
(Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Ceraian UP.7.2.5-Tatacara Pemberian Dan Penerimaan Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam)
Barang siapa membeli baju sepuluh dirham, sedangkan satu dirham sahaja daripada yang sepuluh itu berasal dari sumber haram, maka Allah SWT tidak akan menerima solat orang tersebut selama baju itu masih dipakainya
(Hadis Riwayat Ahmad)
Bolehkah Sumbangan Dalam Bentuk Cenderamata Diberikan Kepada Seorang Penceramah Yang Juga Seorang Pegawai Awam?
Boleh diberikan tetapi tidak digalakkan. Sekiranya hendak diberikan juga, sebaik-baiknya diberikan dalam bentuk plaque yang tidak mahal, barangan kraftangan jabatan atau bahan cetak jabatan.
Adalah perlu dijelaskan, mengikut “Pekeliling Perbendaharaan Malaysia WP 1.8-Bayaran Saguhati Kepada Pensyarah, Penceramah Dan Fasilitator Sambilan telah menetapkan peraturan dan kadar bayaran saguhati kepada pegawai awam yang memberi syarahan atau ceramah secara sambilan atau menjadi fasilitator sambilan dalam kursus, bengkel atau majlis rasmi yang dianjurkan oleh kementerian atau jabatan kerajaan. Kadar elaun layak dibayar mengikut gred jawatan dan mengikut jumlah jam. Kadar bayaran saguhati adalah tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan dalam Pekeliling tersebut. Oleh itu, adalah sudah memadai sekiranya pegawai awam yang layak menuntut elaun atau saguhati penceramah berbuat demikian tanpa perlu diberikan sumbangan dalam bentuk cenderamata oleh pihak penganjur.
Seorang Pegawai Awam Telah Menerima Wang Tunai Berjumlah RM500.00 Daripada Seorang Pengurus Syarikat Yang Sering Berurusan Dengan Jabatannya Dalam Keadaan Yang Sukar Ditolak. Dia Telah Melaporkan Kepada Ketua Jabatannya. Apakah Yang Perlu Dilakukan Oleh Ketua Jabatannya?
Tindakan pegawai awam berkenaan adalah bertepatan dengan kehendak dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Ceraian UP.7.2.5-Tatacara Pemberian Dan Penerimaan Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam. Ketua Jabatan perlulah membuat pertimbangan sewajarnya bahawa, penerimaan wang RM500.00 itu atau berapa jumlah sekalipun adalah berunsur suapan rasuah kerana ada kaitan dengan tugas rasmi pegawai itu.
Tindakan sewajarnya adalah Ketua Jabatan itu perlu mengarahkan pegawai berkenaan melaporkan kepada SPRM secepat mungkin kerana terdapat elemen perbuatan itu adalah suapan rasuah dan menyalahi Akta SPRM 2009. Menurut Seksyen 25(1), Akta SPRM 2009 adalah menjadi kewajipan pegawai awam melaporkan secepat mungkin sebarang suapan rasuah yang ditawarkan kepadanya.
Jika pegawai awam itu gagal melaporkan perbuatan jenayah rasuah tersebut, dia telah melanggar Seksyen 25(2), Akta SPRM 2009 dan boleh disabitkan dengan hukuman didenda tidak melebihi seratus ribu ringgit (RM100,000.00) atau penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya. Pegawai awam yang dihukum atau disabitkan kesalahan oleh mahkamah akan diambil tindakan tatatertib oleh pihak berkuasa tatatertib jabatannya sehingga dibuang kerja.
Gambar Hiasan: Dalam tahanan reman di lokap SPRM. Hasil siasatan yang akan menentukan sama ada seseorang itu akan dibebaskan atau dituduh di mahkamah atas kesalahan jenayah rasuah
Bolehkah Seorang Pegawai Awam Menerima Tambang Tiket Penerbangan Percuma Yang Ada Kaitan Dengan Tugas Rasmi?
Tidak boleh. Hal ini melibatkan tugas rasmi pegawai awam itu dan perbuatan tersebut adalah kesalahan jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009 di mana sebagai balasan bagi sesuatu kerja yang telah diberikan.
Sekiranya pegawai awam itu gagal melaporkan penerimaan hadiah tersebut, dia boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 25 (2), Akta SPRM 2009 kerana telah gagal melaporkan penerimaan hadiah tersebut.
(Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Ceraian UP.7.2.5-Tatacara Pemberian Dan Penerimaan Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam)
Adakah Pegawai Awam Boleh Menerima “Keraian”?
Menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) edisi keempat, maksud keraian adalah mengadakan suatu majlis jamuan untuk meraikan seseorang atau majlis jamuan sempena hari kebesaran, hari kelahiran, majlis perkahwinan, sambutan ulang tahun perkahwinan dan pelbagai bentuk keraian.
Manakala mengikut Para 14, Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Ceraian UP.7.2.5- Tatacara Pemberian Dan Penerimaan Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam pula menyatakan pegawai awam boleh menerima keraian jika tidak mempengaruhi tugas rasminya atau tidak bercanggah dengan tatakelakuan pegawai awam di bawah Peraturan Pegawai-Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (P.U.(A) 395/1993).
Mengikut Para 9, Peraturan itu menjelaskan bahawa seseorang pegawai itu boleh menerima daripada mana-mana orang, apa-apa jenis keraian jika;
(a) Keraian itu tidak dalam apa-apa cara mempengaruhi pelaksanaan tugas-tugasnya sebagai seorang pegawai awam untuk kepentingan orang itu; dan
(b) Penerimaan keraian itu tidak dalam apa-apa cara menjadi tidak selaras atau tidak bercanggah dengan Para 4 (2)(a)(b) dan (c), Peraturan itu, iaitu sensitiviti jabatan di mana pegawai bertugas; sensitiviti masyarakat terhadap tanggungjawab pegawai awam dan perkhidmatan awam keseluruhannya atau kekerapan pegawai awam menerima keraian.
Oleh demikian itu, walaupun pegawai awam itu dibenarkan menerima keraian, dia hendaklah memberi perhatian serius berkaitan penerimaan keraian ini di bawah Para 4 dan 9, Pekeliling itu supaya ianya tidak menjejaskan kuasa dan tanggungjawabnya sebagai pegawai awam untuk kepentingan pihak yang memberi keraian itu.
(Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Ceraian UP.7.2.5-Tatacara Pemberian Dan Penerimaan Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam, Peraturan Pegawai-Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (P.U.(A) 395/1993 dan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605))
Bolehkah Jabatan Kerajaan Menerima Sumbangan Daripada Peruntukan Wakil Rakyat Untuk Sesuatu Program Yang Dibuat Secara Perkongsian Bestari?
Boleh diterima tetapi jabatan itu mesti mendapat kebenaran daripada Ketua Setiausaha Kementerian atau Pegawai Pengawal jabatan terlibat. Walau bagaimanapun, ianya adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti telah ditetapkan di Lampiran UP.7.2.5 (D), Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Ceraian UP.7.2.5-Tatacara Pemberian Dan Penerimaan Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam. Di antara syarat-syarat adalah;
a) Hadiah yang diterima itu hendaklah diberikan oleh penderma secara percuma tanpa sebarang syarat dan ikatan. Penderma pula tidak mempunyai apa-apa kepentingan dengan kerajaan seperti tidak mendapat kontrak atau tender dengan jabatan berkenaan;
b) Hendaklah dipastikan barang-barang atau peralatan yang dihadiahkan adalah yang belum terpakai atau alat-alat gantinya pula mudah diperoleh serta memberi manfaat atau faedah kepada jabatan atau negara amnya;
c) Sesuatu hadiah itu diberikan oleh penderma secara sukarela dan bukan atas permintaan jabatan kerajaan itu; dan
d) Jabatan kerajaan adalah dilarang menjalankan usaha bagi mendapatkan hadiah atau derma dari mana-mana pihak sama ada pertubuhan atau orang perseorangan.
(Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Ceraian UP.7.2.5-Tatacara
Pemberian Dan Penerimaan Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam)
Bolehkah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Memberikan Sumbangan Hamper Kepada Sebuah Jabatan Kerajaan Sempena Musim Perayaan Bertujuan Menjalinkan Hubungan Dengan Pelanggannya?
Boleh. Sekiranya pihak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempunyai polisinya tersendiri tentang pemberian atau penerimaan hadiah. Walau bagaimanapun sekiranya pemberian ini mempunyai niat jenayah rasuah seperti untuk mendapat tender atau syarikat itu sedang memasuki sebutharga atau tender dengan jabatan tersebut. Maka hadiah tersebut tidak boleh diterima. Hal ini kerana ada unsur kesalahan jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009.
(Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Ceraian UP.7.2.5-Tatacara Pemberian Dan Penerimaan Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam)
Bagaimanakah Sekiranya GLC Memberi Hadiah Itu Kepada Pihak Swasta Sebagai Mengeratkan Perhubungan Dengan Pelanggannya?
lanya bergantung kepada polisi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta berkenaan. Walau bagaimanapun jika mempunyai niat jenayah rasuah kerana ada kaitan dengan urusan rasmi, ianya menjadi kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.
Sebagai contoh, sebuah syarikat GLC milik agensi badan berkanun kerajaan persekutuan sedang memasuki tender pembinaan bangunan yang ditawarkan oleh syarikat A. Sekiranya mana-mana pegawai GLC memberi hadiah atau barang berharga kepada pegawai Syarikat A yang menguruskan tender tersebut, maka itu adalah perbuatan jenayah rasuah dan pegawai syarikat A itu perlu melaporkan secepat mungkin kepada SPRM. Sekiranya dia telah gagal melaporkan perbuatan jenayah rasuah itu, dia boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 25, Akta SPRM 2009.
Bolehkah Pegawai GLC Menerima Hadiah Daripada Individu Atau Syarikat Swasta?
lanya bergantung kepada polisi GLC itu. Walau bagaimanapun jika pemberiaan itu mempunyai niat jenayah rasuah atau ada kaitan dengan urusan rasmi antara pegawai GLC itu dengan individu atau syarikat lain seperti untuk mendapatkan kontrak atau kontrak telah diperoleh oleh syarikat tersebut dan pegawai GLC itu terlibat secara langsung dalam pengurusan kontrak tersebut, ianya menjadi kesalahan di bawah Akta SPRM 2009. Hal ini bermakna pegawai berkenaan perlu menolak tawaran hadiah tersebut jika mendapati hadiah itu ada kaitan dengan tugas rasminya.
Sekiranya individu atau syarikat swasta itu masih menawarkan hadiah tersebut, beliau perlu melaporkan perbuatan tersebut kepada pejabat SPRM yang terdekat tentang pemberian hadiah
tersebut. Sekiranya dia telah gagal melaporkan perbuatan jenayah rasuah tersebut, dia boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 25, Akta SPRM 2009.
Bolehkah GLC Memberikan Sumbangan Berupa Hamper Atau Hadiah Kepada Jabatan Kerajaan Sebagai Promosi Produk Atau Perkhidmatannya?
lanya bergantung kepada polisi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu sendiri. Walau bagaimanapun jika mempunyai niat atau ada tujuan untuk memberi suapan rasuah seperti dengan tujuan untuk mendapatkan atau menyambung kontrak perbekalan atau perkhidmatan dari jabatan kerajaan tersebut ianya menjadi kesalahan undang-undang di bawah Akta SPRM 2009.
Gambar Hiasan: Jiwa anda sudah pun akan terpenjara apabila anda telah ditangkap kerana suapan rasuah walaupun anda belum tentu lagi didapati bersalah dan disabitkan dengan hukuman oleh mahkamah
Tidak akan bergeser dua telapak kaki seorang hamba pada hari kiamat sampai dia ditanya (diminta pertanggungjawaban) tentang masa mudanya ke mana dihabiskannya; tentang ilmunya, bagaimana dia mengamalkannya; tentang hartanya, dari mana diperolehnya dan ke mana dibelanjakannya; serta tentang tubuhnya untuk apa digunakannya
(Hadis Riwayat Tirmidzi).