PERUNTUKAN UNTUK MELAPOR KES RASUAH TIDAK MELAMPAUI IMUNITI PARLIMEN

Kenyataan media Pemerhati Rasuah Malaysia – MCW
12 Mac 2024

PERUNTUKAN UNTUK MELAPOR KES RASUAH TIDAK MELAMPAUI IMUNITI PARLIMEN
1.Saya merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang berpandangan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu masuk campur berhubung kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Menurutnya, ahli parlimen memiliki imuniti daripada pendakwaan dan keistimewaan semasa berucap atau berbahas dalam sidang Dewan Rakyat, dan Wan Saiful sebagai seorang wakil rakyat mempunyai hak untuk tentukan bila beliau hendak buat laporan kepada SPRM tanpa didesak.
2.Sebagai sebuah pertubuhan yang bersifat ‘non-partisan’ MCW ingin memberi pandangan berdasarkan fakta dan undang-undang yang sedia ada, bukannya polemik serta manipulasi fakta.
Merujuk kepada keistimewaan semasa berbahas dalam sidang Dewan Rakyat dan Imuniti Parlimen, sepertimana yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan dibawah Keistimewaan Parlimen perkara 63 (1), (2) dan (3), ia sebenarnya adalah berkaitan dengan imuniti terhadap prosiding di dalam mahkamah.
Perkara 63 (2) menyatakan dengan jelasnya: “Tiada seorangpun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberikan olehnya semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya”
4.Pada pandangan kami, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki hanya memberi kenyataan meminta Datuk Wan Saiful untuk membuat aduan atau laporan kepada SPRM sekiranya benar dia ditawarkan rasuah.
Kenyataan ini tidak melibatkan apa-apa prosiding mahkamah, maka ia tidak termasuk dalam keistimewaan Ahli Parlimen mendapat perlindungan Imuniti Parlimen.
5.Apabila Wan Saiful menyebut di Parlimen iaitu di Dewan Rakyat mengenai dakwaan rasuah ditawar kepada beliau, maka sebenarnya menjadi tanggungjawab beliau sendiri untuk membuat laporan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.
6.Dalam hal ini, SPRM boleh bertindak secara pro-aktif untuk berjumpa dan mengambil butiran atau maklumat yang berkenaan secara berjumpa terus dengan mana-mana individu.
7.Sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab kepada mana-mana individu yang ditawarkan rasuah untuk segera membuat laporan berlandaskan undang-undang di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009, di mana Seksyen 25 (1) berkaitan Kewajipan untuk melaporkan transaksi penyogokan, jelas menyatakan mana-mana orang yang diberi, dijanjikan, atau ditawarkan, apa-apa suapan dengan melanggar mana-mana peruntukan Akta ini hendaklah melaporkan pemberian, janji atau tawaran tersebut kepada pegawai Suruhanjaya atau pegawai polis yang paling hampir.
8.Sepertimana didalam peruntukan Akta SPRM 2009 iaitu di bawah Seksyen 7 (a) Pegawai-pegawai Suruhanjaya mempunyai fungsi menerima dan menimbangkan apa-apa aduan tentang perlakuan kesalahan rasuah dan menyiasat mana-mana aduan itu sebagaimana yang difikirkan praktik oleh Ketua Pesuruhjaya.
9.Kesimpulannya, apa-apa perkara yang dibangkitkan berkaitan isu atau perkara yang melibatkan rasuah, SPRM boleh bertindak demi menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya sebagai agensi utama yang memerangi rasuah selari dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
10.MCW berharap ahli-ahli politik tidak memanipulasi fakta dan undang-undang yang sedia ada untuk mengaburi mata rakyat dan mewujudkan persepsi buruk terhadap fungsi dan peranan agensi penguatkuasa negara.
Jais Abdul Karim Presiden