KENAPAKAH PEGAWAI AWAM DILARANG MENERIMA HADIAH DALAM MENJALANKAN TUGAS RASMI?

BAB 22
KENAPAKAH PEGAWAI AWAM DILARANG MENERIMA HADIAH DALAM MENJALANKAN TUGAS RASMI?
Isu penerimaan hadiah dalam menjalankan tugas rasmi oleh pegawai awam daripada orang awam khususnya peniaga, kontraktor atau syarikat tertentu sering menjadi polemik dan sering diperkatakan oleh orang awam terutamanya dalam kalangan peniaga atau kontraktor yang sering berurusan dengan jabatan kerajaan. Isu ini tidak pernah padam dan selalunya akan muncul apabila tibanya musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina. Dalam menjalankan tugas sebagai pegawai awam, kadang kala terdapat pelanggan khususnya kontraktor atau peniaga yang berurusan rasmi dengan jabatan atau pegawai awam tertentu memberikan hadiah sebagai tanda penghargaan di atas perkhidmatan yang telah diberikan.
Penerimaan hadiah oleh pegawai awam boleh menimbulkan persepsi negatif dan menjejaskan imej perkhidmatan awam dan negara. Kerajaan telah mengeluarkan peraturan jelas sebagai panduan kepada pegawai awam berkaitan larangan menerima hadiah. Hal ini telah dijelaskan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Ceraian UP.7.2.5-Tatacara Pemberian Dan Penerimaan Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam
Begitu juga Garis Panduan Permohonan Kutipan Dan Penerimaan Hadiah atau Sumbangan Oleh Majlis Kebajikan Dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) bertarikh 13 Februari 2013 yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) merangkap Yang Dipertua MAKSAK dengan jelas memberi garis panduan merangkumi penerimaan dan pemberian hadiah atau sumbangan dalam kalangan pegawai-pegawai awam, jabatan kerajaan, kesatuan dan pertubuhan yang melibatkan pegawai awam dan Kelab Kebajikan dan Sukan di peringkat persekutuan, badan berkanun, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Walau bagaimanapun, sejauh mana pegawai awam mematuhi panduan yang telah digariskan itu? Selalunya pegawai awam khususnya pegawai kanan atau ketua jabatan tidak menghiraukan larangan dan kesalahan menerima hadiah kerana menganggap ianya perkara kecil dan sudah menjadi kebiasaan dalam budaya masyarakat Malaysia. Mereka membiarkan penerimaan hadiah itu berlaku secara terang-terangan dan tanpa rasa bersalah apatah lagi hadiah itu juga bukan sahaja untuk pegawai-pegawai bawahan tetapi ada juga habuan untuk mereka. Larangan ke atas pegawai awam yang berkuat kuasa itu bukan isu baru. Malah pihak SPRM dalam program-program pendidikan antirasuah seperti ceramah, seminar, dialog dan Ikrar Basmi Rasuah (IBR) telah kerap kali mengingatkan pegawai awam supaya tidak menerima hadiah dalam menjalankan tugas atau urusan rasmi jabatan.
Perlu dinyatakan bahawa hadiah diterima oleh pegawai awam dalam menjalankan tugas rasminya tidak mengira berapakah nilai harga hadiah tersebut adalah kesalahan jenayah rasuah di bawah Seksyen 17(a), Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165, Kanun Keseksaan. Sekiranya mana-mana pegawai awam didapati telah bersalah mengikut undang-undang berkuat kuasa. Pegawai awam itu akan berdepan pula dengan tindakan tatatertib oleh Lembaga Tatatertib jabatannya sehingga dibuang kerja.
Jika tiada bukti kukuh di sisi undang-undang tetapi, perbuatan pegawai awam itu dengan jelas telah melanggar Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Ceraian UP.7.2.5-Tatacara Pemberian Dan Penerimaan Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam mula, pegawai awam itu boleh diambil tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 993 bagi pegawai awam dalam perkhidmatan awam kerajaan persekutuan dan negeri. Manakala pegawai awam di agensi badan berkanun pula boleh diambil tindakan tatatertib di bawah Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj) 2000 (Akta 605).
Contoh-contoh bentuk kesalahan menerima hadiah di bawah Akta SPRM 2009 seperti berikut;
a) A, adalah pegawai awam sebuah jabatan kerajaan telah membantu seorang kontraktor mendapatkan tawaran kerja kontrak dari jabatannya. Sebagai balasan, A menerima tiket penerbangan percuma ke London. Perbuatan A itu satu kesalahan jenayah rasuah kerana menerima hadiah iaitu tiket penerbangan percuma.
b) B, seorang konsultan Syarikat XYZ Sdn Bhd telah meminta syarikat pemaju perumahan menghadiahkan sebentuk cincin berlian untuk pertunangan anaknya, sebagai dorongan bagi mempercepatkan pengesahan laporan tuntutan kerja-kerja pembinaan. Perbuatan B itu adalah satu kesalahan jenayah rasuah kerana meminta hadiah tersebut.
c) E, seorang orang awam menawarkan ganjaran berupa set karaoke kepada F, seorang pegawai awam sekiranya pegawai awam itu mengundi menyokong permohonan mendapat lot gerai perniagaan di Pasar Awam dalam mesyuarat di jabatan F berkenaan. Perbuatan E itu satu kesalahan rasuah kerana menawarkan hadiah iaitu satu set karaoke kepada pegawai awam itu.
d) C, seorang Pengerusi Lembaga Tender sebuah agensi badan berkanun kerajaan, telah meluluskan satu tender kepada syarikat adiknya. Sebagai ganjaran adiknya telah menghadiahkan sekalung rantai emas sempena dengan perkahwinan anak C. Perbuatan C itu adalah satu kesalahan jenayah rasuah kerana telah meluluskan tender kepada syarikat milik adiknya dan dia menerima hadiah iaitu sekalung rantai emas untuk anaknya.