BAGAIMANAKAH KESALAHAN JENAYAH RASUAH DALAM BENTUK SALAH GUNA JAWATAN ATAU KEDUDUKAN BOLEH BERLAKU

BAGAIMANAKAH KESALAHAN JENAYAH RASUAH DALAM BENTUK SALAH GUNA JAWATAN ATAU KEDUDUKAN BOLEH BERLAKU?
Kesalahan jenayah rasuah dalam bentuk salah guna jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan rasuah adalah bentuk kesalahan di bawah Seksyen 23, Akta SPRM 2009. Secara ringkasnya menjelaskan peruntukan undang-undang tersebut bermaksud mana-mana pegawai badan awam termasuklah anggota pentadbiran seperti Menteri Kabinet, Menteri Besar atau Ahli Parlimen atau EXCO atau mana-mana pegawai awam telah menggunakan kedudukan atau jawatan awamnya untuk faedah kewangannya atau apa-apa faedahnya yang lain apabila dia membuat apa-apa keputusan atau mengambil apa-apa tindakan, berhubung dengan apa-apa perkara mengenai dirinya, mana- mana saudaranya atau sekutunya yang mempunyai kepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Sebagai contohnya pegawai awam mempengerusikan atau mengambil bahagian dalam membincangkan dan meluluskan perolehan tender, sebutharga atau pembelian terus peralatan kepada syarikatnya sendiri atau isterinya atau sekutunya yang dia atau saudaranya ada kepentingan.
Maksud saudara mengikut tafsiran di bawah Seksyen 3, Akta SPRM 2009 ialah isteri atau suami orang itu; adik atau abang atau kakak orang itu; adik atau abang atau kakak isteri atau suami orang itu; orang yang mempunyai pertalian nasab langsung ke atas atau ke bawah dengan orang itu seperti datuk atau nenek atau cucu; orang yang mempunyai pertalian nasab langsung ke atas atau ke bawah dengan isteri atau suami orang itu; bapa saudara, emak saudara atau sepupu orang itu; atau menantu orang itu.
Maksud Sekutu pula dikaitkan dengan mana-mana orang yang merupakan penama atau pekerja orang itu, mana-mana orang yang mengurus hal ehwal orang itu, mana-mana organisasi yang orang itu mempunyai kepentingan dalam urusan perniagaan atau pemegang amanah kepada orang itu.
Manakala maksud Badan Awam pula adalah termasuklah;
a) kerajaan Malaysia;
b) kerajaan negeri;
c) mana-mana pihak berkuasa tempatan dan mana-mana pihak berkuasa badan berkanun;
d) mana-mana jabatan, perkhidmatan atau pengusahaan kerajaan Malaysia, kerajaan negeri atau sesuatu pihak berkuasa tempatan;
e) mana-mana pertubuhan berdaftar di bawah subseksyen 7(1) Akta Pertubuhan 1966;
f) mana-mana cawangan sesuatu pertubuhan berdaftar yang ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan 1966;
g) mana-mana badan sukan yang didaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997;
h) mana-mana koperasi didaftarkan di bawah Akta Koperasi
1993;
I) mana-mana kesatuan sekerja didaftarkan di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959;
j) mana-mana pertubuhan belia didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan belia dan Pembangunan Belia 2007;
k) mana-mana syarikat atau syarikat subsidiari terhadapnya atau dalamnya mana-mana Badan Awam disebut di perenggan (a)-(j) mempunyai kawalan atau kepentingan;
l) mana-mana pertubuhan, kesatuan, organisasi atau badan ditetapkan Menteri dari masa ke semasa melalui perintah yang disiarkan dalam Warta;
m) mana-mana pertubuhan peladang yang dibentuk dan didaftarkan menurut Akta Pertubuhan Peladang (Akta 109); dan
n) mana-mana persatuan nelayan yang ditubuhkan dan didaftarkan menurut Akta Persatuan Nelayan 1971 (Akta 44).
Maksud Pegawai Badan Awam ertinya mana-mana orang yang menjadi anggota, pegawai, pekerja atau perkhidmat sesuatu Badan Awam dan termasuk anggota pentadbiran, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan atau Hakim Mahkamah Persekutuan dan mana-mana orang yang menerima apa-apa saraan daripada wang awam dan jika Badan Awam itu ialah suatu perbadanan seorang, termasuk orang itu yang diperbadankan sebagai perbadanan itu.
Antara Kes Sabitan Hukuman Oleh Mahkamah;
a) Kes terhadap Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri Malaysia. Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022, telah mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta atas tuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram hasil kegiatan rasuah dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd. Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara telah membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan tertuduh sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah. Beliau berkata, dalam kes pembelaan, tertuduh tidak mempertikaikan mengenai kemasukan dana SRC International berjumlah RM42 juta seperti dipertuduhkan ke atasnya, dalam akaun bank milik peribadinya pada ketika kes itu dibicarakan. Mahkamah Persekutuan telah bersetuju bahawa, dalam penghakiman yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 28 Julai 2020 yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Ahli Parlimen Pekan itu terhadap tujuh tuduhan melibatkan jenayah rasuah dalam bentuk menyalahgunakan jawatan, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta itu. Manakala pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan terhadap Dato’ Sri Mohd Najib. (BH Online: 23 Ogos 2022)
b) Bekas ahli EXCO Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Sahar Bin Arpan telah didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan atas tiga tuduhan menyalahguna jawatan atau kedudukan dan melakukan rasuah, dihukum penjara dua tahun dan didenda berjumlah RM60,000.00 setelah rayuannya di peringkat akhir ditolak oleh Mahkamah Persekutuan. Datuk Sahar telah didapati bersalah menggunakan kedudukannya dalam kerajaan telah mengambil bahagian dalam Mesyuarat EXCO yang membuat keputusan meluluskan permohonan dua bidang tanah oleh Syarikat Ivory Heights Sdn. Bhd. dalam daerah Bertam dan Bachang, Melaka Tengah, Melaka di mana beliau mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut. Daripada bukti dan keterangan pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Melaka, tidak dapat disangkal bahawa Datuk Sahar adalah merupakan EXCO ketika itu dan tidak pernah mendedahkan kepentingannya dalam syarikat Ivory Heights Sdn. Bhd. ketika menghadiri mesyuarat yang telah membincangkan permohonan tanah oleh syarikat tersebut. Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Melaka pada 19 April 1999. Dia telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan oleh Mahkamah Rayuan yang telah mengekalkan sabitan dan hukuman penjara dua tahun dan denda RM60,000.00 tersebut. (Utusan Online – 17 Julai 2007)
c) Kes terhadap Dato’ Abdul Ghani Bin Ishak, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Melaka. Tertuduh ialah EXCO Negeri Melaka pada masa itu. Beliau telah mengambil bahagian di dalam satu mesyuarat EXCO berkaitan permohonan tanah kerajaan di mana salah satu agenda ialah menimbang dan meluluskan permohonan tanah seluas 200 ekar di Mukim Kuala Linggi, di atas nama seorang wanita bernama Kipah Binti Othman untuk projek ternakan udang. Abdul Ghani juga mempunyai kepentingan dalam syarikat usahasama tersebut, iaitu Syarikat General Enterprise dan Syarikat Samasetia Sdn Bhd yang akan menjalankan projek itu kerana beliau adalah Pengarah Urusan syarikat dan juga pemegang saham. Permohonan tersebut telah dibentangkan dan diluluskan di dalam mesyuarat EXCO tersebut pada 2 Oktober 1974 yang turut dihadiri oleh tertuduh. Beliau telah tidak mengisytiharkan kepentingannya dalam syarikat itu kepada ahli mesyuarat. Walau bagaimanapun selepas tiga hari kelulusan tersebut, tertuduh telah mengahwini wanita tersebut. Tertuduh telah didakwa di mahkamah dan didapati bersalah dan dihukum penjara setahun (Malaysian Law Journal: 1981).