Isytihar harta: MCW sambut baik

Isytihar harta: MCW sambut baik

Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR — Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menetapkan semua Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk ahli badan kehakiman perlu mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disambut baik oleh semua warga Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya percaya ia akan membawa pelbagai kesan positif ekoran peraturan pengisytiharan harta ini.

“Mereka pastinya perlu memberi justifikasi kepada pendapatan yang berlebihan dan terpulanglah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama ada untuk menerimanya atau tidak.

“MCW berharap pihak SPRM akan menyiasat dengan terperinci pengisytiharan harta tersebut dan mengambil segala tindakan yang perlu demi memastikan rasuah dikalangan kelompok ini dapat dikekang,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Ismail Sabri berkata, ketetapan berhubung pengisytiharan harta tersebut diputuskan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR).

Katanya lagi, perincian kod etika baharu berkenaan, akan dibentangkan semula oleh SPRM dalam mesyuarat akan datang.

Jais berkata, ruang dan peluang yang ada pada kelompok ini serta peruntukan atau tender besar yang dikeluarkan oleh agensi tersebut pasti menimbulkan pelbagai keraguan yang munasabah.

MCW katanya, berharap peraturan tersebut dikuatkuasakan dan dilaksanakan dengan segera dalam membuktikan bahawa kerajaan benar-benar serius memerangi rasuah di negara ini. — BebasNews