SPRM bertanggungjawab perjelas status projek Jiwa Murni – MCW

SPRM bertanggungjawab perjelas status projek Jiwa Murni – MCW

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertanggungjawab memberi penjelasan status penyiasatan berhubung dakwaan penyelewengan dalam projek Jiwa Murni.

Demikian kata Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim selepas kira-kira dua tahun kedudukan sebenar kes tersebut terus menjadi tanda tanya.

Menurut Jais, walaupun SPRM hanya wajib menjawab kepada pengadu, namun isu melibatkan kepentingan awam seperti melibatkan projek Jiwa Murni ini perlu dijelaskan juga kepada orang awam.

Kata beliau, rakyat peka terhadap kes-kes ketirisan yang berbangkit walaupun mungkin telah lebih dua tahun siasatan berhubung penyelewengan projek tersebut dilaksanakan.

“Saya berpendapat kita wajib bertanya kepada SPRM dan pihak SPRM juga mempunyai tanggungjawab untuk memberi penjelasan berkenaan status kes tersebut.

“Ini perkara cukup baik apabila rakyat peka terhadap kes berbangkit walaupun mungkin telah lebih daripada dua tahun.

“MCW bertanya kepada SPRM sejauh mana siasatan kes ini telah berjalan dan apakah tindakan yang telah diambil.

“Kita setuju bahawa perkara ini perlu ditanyakan dan rakyat berhak mengetahui perkembangan siasatan terhadap laporan ketirisan ini,” katanya kepada UtusanTV hari ini.

Bagaimanapun, Jais memaklumkan, secara umum memahami bahawa siasatan berhubung sesuatu kes memakan masa yang lama mungkin sehingga dua ke tiga tahun.

Malah, kata beliau, penyiasatan sesebuah kes itu juga tidak mempunyai tempoh masa untuk ditutup selagi mempunyai maklumat lanjut.

“Kita faham apabila SPRM membuat siasatan tentunya memakan masa dua ke tiga tahun, tambahan pula selepas habis siasatan, SPRM akan menghantar status perkembangan kepada Pejabat Peguam Negara.

“Selepas itu, Pejabat Peguam Negara pula akan mengambil masa lagi untuk membawa kes ke mahkamah,” jelas beliau.

Semalam, UtusanTV melaporkan status siasatan kes projek Jiwa Murni terus menjadi persoalan biar pun sudah berlanjutan hampir dua tahun dengan hasil siasatan kes masih menjadi tanda tanya.

Sehingga hari ini, SPRM tidak memaklumkan apa hasil siasatan kes tersebut kepada umum.

Projek Jiwa Murni membabitkan pelaksanaan 10 jalan negeri di Sarawak di bawah Kementerian Pertahanan bernilai RM800 juta.

Projek tersebut didakwa berlaku penyelewengan, malah pada 30 Januari 2019, Menteri Pertahanan ketika itu, Mohamad Sabu turut memaklumkan kementerian tersebut tidak pernah menutup siasatan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam projek Jiwa Murni di Sarawak.