Masih ramai polis berintegriti tolak rasuah

Masih ramai polis berintegriti tolak rasuah

SHAH ALAM – Sijil penghargaan eksklusif yang diberikan kepada anggota polis kerana menolak ‘pemberian’ ketika menjalankan tugas membuktikan bahawa masih ramai penguat kuasa yang berintegriti.

Setiausaha Agung Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Rosdi Amir berkata, ketiga-tiga anggota polis berkenaan berjaya membuktikan komitmen mereka dalam memerangi serta membasmi jenayah rasuah.

“Tindakan itu membantu untuk memulih dan menaikkan reputasi serta imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah melalui fasa kecaman netizen ekoran daripada beberapa insiden pelanggaran undang-undang anggotanya,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan tiga anggota polis menerima sijil penghargaan eksklusif daripada Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar kerana menolak pemberian rasuah ketika menjalankan tugas.

Mereka cuba diberikan rasuah oleh warga Nepal ketika melakukan rondaan di sekitar kawasan pentadbiran Balai Polis Tenggara, Kota Tinggi pada 10 Februari lalu.

Sikap penuh integriti mereka ketika bertugas turut mendapat pujian daripada Kumar yang turut mengharapkan perkara berkenaan dijadikan contoh serta teladan kepada anggota serta pegawai polis yang lain.