Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Lagu Video Integriti anjuran bersama Institut Integriti Malaysia

PUTRAJAYA, 24 Feb – Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Lagu Video Integriti anjuran bersama Institut Integriti Malaysia (IIM) bermula dengan ucapan alu-aluan Presiden MCW, Tuan Jais Abdul Karim bagi mengalu-alukan kehadiran Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud dan semua tetamu yang sudi hadir bagi menambah lagi seri majlis yang berlangsung di Kelab Tasik Putrajaya.
Presiden MCW turut menyatakan rasa syukur kerana program ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada pelajar- pelajar kolej dan universiti. Ini merupakan titik penerimaan positif golongan muda terhadap pendidikan integriti.
Majlis diteruskan dengan bacaan teks ucapan alu-aluan Ybhg Datuk Nur Yahati Awang, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IIM oleh En. Izal Arif bin Zahrudin, Ketua Pegawai Operasi.
Majlis diserikan lagi dengan ucapan perasmian penutup oleh YB Timbalan Menteri KPT dan penyampaian sijil, hadiah kepada para pemenang Pertandingan Video Lagu Integriti. Acara majlis disusuli dengan penyampaian sijil anugerah pingat bakti 2024 kepada para penyumbang yang amat berjiwa besar dan komited dalam menyokong kelangsungan pembangunan serta perjuangan antirasuah MCW.
Jutaan terima kasih atas kerjasama terbaik Rakan Strategik MCW iaitu IIM, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Pasaraya Hari-Hari yang tidak lokek menghulurkan sumbangan sebagai penaja utama program ini.
Penganjuran pertandingan ini adalah untuk memupuk budaya integriti dan pengetahuan yang tinggi mengenai maksud sebenar integriti dalam kehidupan. Pengukuhan dan adab mulia seharusnya bermula dari akar umbi masyarakat, terutamanya golongan muda.
Integriti adalah paksi atau tiang utama membentuk personaliti mulia setiap insan. Jiwa antirasuah akan terbentuk secara semulajadi. Moral, iman dan ketaqwaan adalah ciri-ciri integriti yang akan membuat kita menolak rasuah.
Tahniah dan syabas kepada Ketua Penerangan MCW yang juga Pengarah Program, Puan Rohani Musa, Setiausaha Agung MCW, En. Rosdi Amir selaku, Setiausaha Program serta Mohamad Rusydi Jaafar, Setiausaha Eksekutif yang bertungkus lumus bagi menjayakan program ini. Terima kasih kepada ahli MCW, En. Ismahisham yang bertugas selaku pengacara majlis secara sukarela dengan penuh bersemangat sebagai tanda sokongan kepada perjuangan MCW.
Sekalung penghargaan juga diucapkan kepada para tetamu dari IIM, KPT, Jawatankuasa Kanan MCW, AJK, Penasihat ulung, Ketua Panel Penasihat, Ahli Panel Pemikir, ahli-ahli MCW, para peserta pertandingan, Erul Samah-penyanyi jemputan, penari zapin ASE dan semua yang hadir bagi mewarnai suasana majlis ini. Sokongan dan kerjasama semua pihak amat dihargai.