KENYATAAN MEDIA MCW-SPRM yang siasat PM, TPM dan semua yang terlibat rasuah

KENYATAAN MEDIA MCW
23 JANUARI 2024
Oleh Rosdi Amir, Setiausaha Agung.

SPRM yang siasat PM, TPM dan semua yang terlibat rasuah

1. Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa golongan yang paling sukar untuk disiasat ialah mereka yang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, malah Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ternyata tersasar dan tidak berasas.

2. Faktanya, SPRM telah memulakan siasatan terhadap Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak pada 2015 ketika beliau masih menjawat sebagai Perdana Menteri.

3. Penyiasatan SPRM bermula pada Julai 2015 rentetan daripada beberapa aduan awam dan liputan media masa dalam negara dan juga antarabangsa, berhubung dakwaan kemasukan wang dalam jumlah yang besar ke dalam akaun peribadi Dato’ Seri Mohd Najib yang dianggarkan kira-kita RM2.6 bilion. Wang ini didakwa telah diseleweng oleh beliau dengan bantuan seorang yang dikatakan proksinya bernama Low Taek Jho (Jho Low).

Dan akhirnya, Dato’ Seri Mohd Najib telah dibawa ke muka pengadilan dan setelah melalui prosiding yang sah beliau telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

5. Bukan setakat itu, pada Julai 2018, SPRM juga telah menyiasat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi kes dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram, namun siasatan baharu tidak pernah diumumkan sebagai berakhir.

6. Itu tidak termasuk siasatan terhadap pelbagai pihak lain termasuk menteri atau bekas menteri daripada pelbagai parti samada kerajaan dan pembangkang. Jika hendak disenaraikan, tidak keterlaluan dikatakan kita juga mungkin sudah ‘lost count’. Justeru dimanakah dakwaan wujudnya ‘selective investigation and prosecution’?

7. Berhubung dakwaan isu saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki tidak disiasat, ia satu tohmahan kerana isu itu telah disiasat oleh tidak kurang dari 6 badan dalaman, pemantau bebas serta agensi penguatkuasa termasuk PDRM dan Suruhanjaya Sekuriti, dan kesemua siasatan terhadap beliau mendapati tiada kesalahan telah dilakukan oleh beliau.

8. Hakikatnya, SPRM tidak pernah mempunyai dan melaksanakan polisi siasatan terpilih. Sesiapa sahaja yang menyebabkan kerugian atau ketirisan dana kerajaan atau awam akan disiasat. Tohmahan terhadap SPRM seumpama ini sudah menjadi satu kelaziman oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda politik mahupun agenda lainnya.

9. Berhubung dakwaan seorang anak kepada individu bergelar Tun telah diugut penjara 5 tahun oleh pegawai SPRM sekiranya tidak mengisytiharkan harta, umum seharusnya faham mengenai prosedur standard operasi dan undang-undang yang terkandung dalam Kuasa Memperoleh Maklumat dalam Seksyen 36(1) dan 36(2) Akta SPRM 2009.

Menurut Seksyen 36(2) ASPRM 2009, “mana-mana orang dengan sengaja mengabaikan atau tidak mematuhi terma notis itu telah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun dan didenda tidak melebihi RM100,000.” Ini bermakna individu yang melakukan kesalahan tersebut perlu dibicarakan di mahkamah dan disabitkan sebelum menerima hukuman penjara.

Lazimnya, seksyen ini akan dibacakan dan diperjelaskan oleh pegawai SPRM untuk mendapatkan persetujuan maklum (informed consent) daripada individu tersebut agar persetujuannya sah.

Oleh yang demikian, ia tidak patut disalah anggap sebagai satu ugutan kerana ia adalah prosedur standard operasi bahawa serahan Perintah Notis Pengisytiharan Harta yang dilaksanakan adalah sebagai sebahagian proses siasatan. Sekiranya benar anak beliau telah diugut, mengapakah beliau tidak membuat laporan polis walhal ugutan itu satu kesalahan jenayah? Maka jelaslah dakwaan ugutan itu tidak berasas dan satu permainan politik semata-mata untuk mencemarkan imej dan kredibiliti badan penguatkuasa.

10. Sebagai kesimpulan, SPRM harus meneruskan siasatan kes-kes rasuah dan salah guna kuasa yang diadukan kepada mereka mengikut peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa agensi berkenaan tidak kira kes berkenaan melibatkan orang awan, ahli politik, orang kenamaan, individu bergelar Datuk, Dato Seri, Tan Sri atau Tun.

SPRM harus menjadi sebuah badan bebas yang diyakini oleh rakyat bagi menjadikannya profesional, relevan dan efisyen.