Kenyataan Media MCW berkenaan Cadangan bakal YDPA meletakkan SPRM terus di bawah pejabat YDPA

Kenyataan Media MCW berkenaan Cadangan bakal YDPA meletakkan SPRM terus di bawah pejabat YDPA
11 Disember 2023

1. Pada Julai 2018, kerajaan pada ketika itu telah mengumumkan bahawa sembilan buah agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Audit Negara akan diletakkan langsung di bawah Parlimen kerana rombakan besar-besaran di JPM namun jelas kelihatan ianya tidak berlaku.

2. Pelbagai pihak termasuk MCW selalu mencadangkan agar pelantikan ketua-ketua agensi itu mestilah ditemuduga dan dipilih oleh ahli-ahli parlimen melalui satu proses khas dengan perkenan Yang Di Pertuan Agong (YDPA) atau terus diletakkan di bawah kuasa baginda. Cadangan yang lebih lengkap adalah dengan memberikan SPRM kuasa autonomi sepenuhnya terutamanya dalam hal berkaitan kewangan dan pelantikan / pemecatan Ketua Pesuruhjaya atau pegawai dan diiktiraf sebagai sebuah badan perlembagaan sendiri di bawah YDPA. Hal ini pasti akan melibatkan proses pindaan Perlembagaan negara.

3. Tujuan cadangan ini adalah untuk memupuk keyakinan orang ramai terhadap agensi berkenaan dan bagi menghapuskan pandangan bahawa agensi itu akan berat sebelah kepada kerajaan semasa. ‘The Rule Of Law’ atau Kedaulatan Undang-Undang yang sebenarnya mesti dipatuhi dan ditegakkan.

4. MCW dan rakyat secara keseluruhannya mempunyai persepsi bahawa SPRM di bawah YDPA akan memberikan impak yang positif kerana banyak insiden dalam negara yang kelihatan seolah-olah parti pembangkang kerap kali menjadi ‘mangsa’ dan SPRM sering dituduh terikat dengan kerajaan semasa.

5. Melalui cara ini juga tohmahan SPRM menjadi alat politik dapat dielakkan malah akan mampu meningkatkan kebebasannya dan menjadi lebih telus sehingga mampu meningkatkan indeks CPI negara pada masa hadapan.

Haji Jais Abdul Karim
Presiden MCW