Amalan rasuah imigresen punca lambakan pendatang haram

Amalan rasuah imigresen punca lambakan pendatang haram

  • Oleh ARIF AIMAN ASROL
  • 2 Julai 2023, 4:48 pm

PETALING JAYA: Kegiatan rasuah dalam Jabatan Imigresen Malaysia perlu ditangani segera kerana ia merupakan punca berlakunya lambakan warga asing dan pendatang haram dalam negara.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, rasuah dalam imigresen memberikan peluang kepada warga asing untuk memasuki negara secara haram atau memperoleh dokumen dengan cara tidak sah.

Menurut beliau, pihak bertanggungjawab dalam proses imigresen yang terlibat mungkin menerima suapan atau hadiah untuk memudahkan proses jabatan tersebut seperti mengelakkan pemeriksaan ketat atau memalsukan dokumen.

“Punca rasuah dalam imigresen adalah akibat dari kekurangan integriti dan etika dalam kalangan pegawai imigresen, sistem tidak cekap atau terlalu rumit atau kurangnya pengawasan serta penguatkuasaan yang efektif terhadap individu terlibat dalam amalan rasuah.

“Untuk mengatasi isu ini, langkah-langkah tegas dan menyeluruh perlu diambil. Pertama, perlu ada penguatkuasaan undang-undang yang ketat serta tindakan tegas terhadap individu terlibat dalam rasuah dalam imigresen.

“Ini termasuk siasatan menyeluruh, pendakwaan yang adil, dan hukuman setimpal bagi mereka yang terlibat dalam amalan rasuah. Perlindungan wajar juga perlu diberikan kepada pemberi maklumat untuk mendedahkan amalan rasuah dalam imigresen,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Malaysia digemparkan dengan dakwaan bahawa seorang Menteri yang merujuk kepada Datuk Seri Tiong King Sing menyalahgunakan kuasanya apabila didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan pelawat China yang ditahan.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu mena­fikan tuduhan bahawa kekecohan tersebut timbul kerana dirinya sebaliknya menyifatkan kehadirannya ke  Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membongkar satu peristiwa yang memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

Jais berkata, bagi meningkatkan kesedaran dan pendidikan awam tentang bahaya rasuah dalam imigresen adalah penting kerana rakyat  dapat membantu menjadi mata dan telinga dalam melaporkan kegiatan tersebut.

Katanya,  ia juga membuat rakyat jelas mengenai impak negatif terhadap keselamatan negara, ekonomi dan sosial.

“Dalam mengatasi lambakan warga asing dan pendatang haram di Malaysia serta masalah rasuah dalam imigresen, kerjasama dan koordinasi antara agensi penguatkuasaan, imigresen serta pasukan keselamatan adalah penting. Ini akan memastikan sumber daya dan maklumat berkaitan digunakan secara efektif untuk mencegah serta menangani masalah tersebut.

“Keselamatan negara dan integriti institusi imigresen adalah perkara yang tidak boleh dikompromikan. Langkah-langkah tegas serta terancang perlu diambil untuk mengatasi lambakan warga asing dan pendatang haram serta memerangi rasuah dalam imigresen demi keamanan serta kedaulatan negara,” jelasnya.-UTUSAN