KENYATAAN MEDIA MCW BERKENAAN CADANGAN PEMANSUHAN GIACC

KENYATAAN MEDIA MCW BERKENAAN CADANGAN PEMANSUHAN GIACC
23 Disember 2022

1. MCW memohon agar cadangan tersebut diteliti dengan lebih lanjut. Penjenamaan semula mungkin lebih sesuai dengan segala hal yang berkaitan Antirasuah boleh diserahkan terus kepada pihak SPRM yang cukup mahir dan lebih dikenali dalam segala hal yang berkaitan.

2. Masyarakat juga sering terkeliru dengan fungsi dan peranan GIACC. Banyak usaha baik mereka untuk menyelamatkan negara daripada rasuah kurang kedengaran.

3. MCW sedar bahawa GIACC merupakan penyelaras kepada kesepaduan tindakan inisiatif governans, integriti dan antirasuah di mana kita sebenarnya dapat lihat peranan GIACC ini dalam menggerakkan pelaksanaan dasar-dasar atau inisiatif yang baharu berkaitan tiga aspek ini dengan kementerian dan agensi kerajaan lain.

4. Sejak ditubuhkan pada tahun 2018, agensi inilah sebenarnya yang menggerak usaha governans dan integriti negara. Peranan GIACC sangat besar terutamanya dalam memastikan Malaysia mempunyai sebuah kerajaan yang berintegriti dan bukannya dikenali sebagai sebuah negara yang mana amalan rasuah berlaku sewenang-wenangnya

5. GIACC adalah cerminan keseriusan Kerajaan dalam usaha untuk membenteras rasuah terutamanya dalam kalangan penjawat awam yang masih berada pada tahap membimbangkan.

6. Dengan jumlah penjawat awam seramai 1.6 juta yang merupakan tulang belakang negara, GIACC yang dijenamakan semula itu memainkan peranan penting dalam memastikan integriti pentadbiran dan menyokong usaha pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negara.

7. Kegagalan terhadap memastikan kepatuhan dalam tadbir urus yang baik boleh mengakibatkan berlaku banyak masalah dalam pentadbiran kerajaan, seterusnya memberikan implikasi yang lebih besar kepada negara.

8. GIACC yang lebih segar dan agresif pastinya dapat mengembalikan keyakinan rakyat dan menguatkan operasi kerajaan dengan sistem nilai yang lebih baik.

9. Sistem hebahan yang lebih berkesan amat diperlukan kerana tanpa publisiti, masyarakat dan penjawat awam tidak tahu tentang kewujudan agensi penyelaras dan perancang strategi di peringkat dasar seperti ini.

10. Pemerkasaan SPRM dalam pelbagai hal berkaitan Antirasuah terutamanya penetapan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sebagai pusat latihan wajib untuk ahli-ahli politik muda negara amat diperlukan segera bagi membuktikan kemahuan politik kerajaan hari ini.

Haji Jais Abdul Karim
Presiden
Pemerhati Rasuah Malaysia