Lantikan semula Pengerusi FELCRA :Anwar perlu kekalkan prinsip

Lantikan semula Pengerusi FELCRA: Anwar perlu kekalkan prinsip

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap kekal dengan prinsipnya untuk tidak melantik orang politik dalam syarikat milik kerajaan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, berkata Anwar perlu menggunakan peluang sebagai ketua kerajaan sebaiknya dan menentang isu yang melanggar prinsipnya.

“Pasti ada pelbagai onak dan duri yang perlu beliau lalui namun rakyat tetap mahu beliau meneruskan reformasi yang dijanjikan ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) serta ketika mengetuai barisan pembangkang.

“Sebagai ketua, kuasa di tangan beliau dan ia perlu digunakan sebaiknya,” katanya kepada BH, hari ini.

 

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuat pelantikan semula Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi FELCRA.

Ahmad Zahid yang memaklumkan mengenai perkara itu ketika Majlis Sambutan 40 Tahun serta Mesyuarat Agung Perwakilan Kali ke-40 koperasi berkenaan semalam berkata, pelantikan semula itu dibuat selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.

Katanya, biarpun Kabinet memutuskan supaya semua jawatan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditamatkan, atas kehendak ahli koperasi itu, pertimbangan bagi lantikan semula itu diberikan.

Malah, Ahmad Zahid juga mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Ramlan Harun untuk mengeluarkan surat pelantikan semula secepat mungkin, tertakluk kepada persetujuan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Menteri sudah bersetuju atas arahan Timbalan Perdana Menteri. Tidak mustahilah Datuk KSU segera menyempurnakan lantikan semula itu,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.