MCW selar kenyataan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Wilayah Persekutuan

Jais Abdul KarimKUALA LUMPUR — Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyelar kenyataan Ketua Pejuang dan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Wilayah Persekutuan yang mempertikaikan integriti dan prinsip perkhidmatan para pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Presidennya, Jais Abdul Karim, kenyataan tersebut terlalu bersifat peribadi yang hanya menyalahkan sesuatu pihak sahaja.

“Beliau sendiri pernah hadir ke SPRM untuk membuat aduan namun disebabkan kehendak politik mereka tidak dapat dipenuhi kerana tiada merit maka mereka sanggup membuat kenyataan seperti ini.

“MCW dan seluruh rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa GTA yang kalah teruk dalam PRU15 baru baru ini sudah tiada modal politik lain selain dari cuba membangkitkan rasa marah kepada kerajaan baharu dengan mengkambing hitamkan SPRM,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jais berkata, kejayaan kes SRC yang berakhir dengan Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak adalah sewaktu UMNO memerintah dimana Perdana Menteri pada ketika itu adalah Datuk Seri Ismail Sabri.

Kejayaan ini katanya adalah berasaskan kepada siasatan SPRM yang telah dilaksanakan sejak 2015 dan berjaya mendapatkan bukti yang kukuh kepada kes.

“Adalah tidak munasabah hujah GTA yang menyatakan pihak SPRM tidak berintegriti dan hanya menyokong kerajaan yang memerintah.

“GTA menyarankan SPRM perlu ada rombakan besar. Sekiranya mereka tidak ada keyakinan dengan SPRM di bawah pimpinan Tan Sri Azam Baki sekarang tetapi mengapakah sebelum ini, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pun antara orang yang membuat laporan kepada SPRM berkaitan 1MDB dan terkini kes berkaitan tanah Kampung Baru,”katanya.

Jais menambah, sehubungan dengan itu MCW menyeru semua pihak dalam negara untuk berhenti berpolitik dan memberi peluang kepada kerajaan baharu membuat segala perubahan yang perlu bagi membolehkan segala masalah dan penambahbaikan dapat dilakukan dengan lancar. — BebasNews