RESPONS MEDIA MCW 29 November 2022

RESPONS MEDIA MCW
29 November 2022

MCW ingin menegaskan pendirian bersetuju dengan pelbagai pihak yang mendesak agar YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak berkompromi atas sebarang alasan dalam membuat keputusan melantik ahli parlimen yang sedang didakwa di mahkamah sebagai anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan Malaysia. YAB Perdana Menteri perlu membuktikan kepada rakyat bahawa nilai integriti dan karisma pemimpin yang bersih serta bebas rasuah adalah keutamaan dalam anggota kabinet bagi memartabatkan kembali nama Malaysia di persada dunia.

Kita sedar bahawa selama ini YAB Perdana Menteri (sewaktu mengetuai barisan pembangkang) secara konsisten tegas dengan pandangan mahukan pemimpin-pemimpin yang berintegriti tinggi. Nilai integriti, ketelusan dan salah guna kuasa mesti dizahirkan menerusi pelantikan anggota-anggota kabinet yang mempunyai rekod bersih. Inilah masanya untuk membuktikan ketegasan tersebut!

MCW amat bersetuju dengan pendapat yang mengatakan, sekiranya ahli parlimen yang masih dalam kes mahkamah dilantik pasti akan melumpuhkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan ini. Mereka mesti terus dihadapkan ke mahkamah sehingga didapati tidak bersalah dan dilepaskan sepenuhnya, barulah dilantik. Hal ini sangat penting untuk membezakan kerajaan kini dan yang lalu.

MCW mewakili rakyat yang cintakan perjuangan antirasuah mengesa kerajaan terkini di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri yang mahu lakukan reformasi untuk bebaskan negara daripada cengkaman salah guna kuasa dan peyelewangan wang rakyat. Hentikan kerakusan kuasa politik supaya semua ahli parlimen yang bakal dilantik dapat bertindak dan bekerja tanpa melatah dalam mainan politik kotor. Berkhidmatlah dengan amanah demi kestabilan politik, kemakmuran rakyat dan bekerja keras untuk memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19 serta senario ekonomi dunia yang semakin meruncing.

Haji Jais bin Abdul Karim
Presiden