Sesi dialog tertutup bersama Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim

dav
Pasca PRU15: Pada 27 November 2022, Presiden MCW, Jais Abdul Karim mengadakan sesi dialog tertutup bersama Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) di pejabat MCW bagi mendapatkan penjelasan mengenai kesahihan aktiviti rasuah yang berlaku semasa proses pilihan raya umum berlangsung.
MCW melihat punca kuasa JKMR sangat penting kerana bertanggungjawab untuk menasihati Perdana Menteri mengenai apa-apa aspek masalah rasuah di Malaysia dan memeriksa laporan tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sehubungan itu, MCW akan memperkukuhkan jentera antirasuah agar dapat bertindak lebih agresif dalam membantu kerajaan dan SPRM memantau aktiviti rasuah, membuat laporan rasuah, mendidik masyarakat membudaya nilai-nilai murni dalam kehidupan, melatih ahli supaya lebih faham peranan MCW serta mahir menggunakan kaedah yang tepat tanpa mengganggu tugasan pihak penguat kuasa sedia ada.
Hakikatnya aktiviti rasuah masih berlaku dalam pilihan raya. Sang pemberi rasuah terlalu licik dan menggunakan pelbagai kaedah unik yang tidak terlihat dek mata kasar. Pemberi rasuah perlu dihukum dan tidak akan dibiarkan bebas begitu sahaja.
Beliau berkata pencegahan amalan rasuah yang terbaik adalah menerusi pendidikan antirasuah dan penerapan nilai-nilai murni secara berterusan. Pupuk sikap tolak rasuah dengan cara mendidik generasi muda dari seawal usia kanak-kanak supaya tidak mengambil hak orang lain.
Seramai hampir 70 orang ahli MCW hadir dalam sesi khas ini. Sesi ini juga diadakan bagi menyampaikan sijil penghargaan kepada Pemerhati Pilihan Raya PRU15 yang bertugas memantau aktiviti rasuah sepanjang PRU15.
Pelbagai pandangan, kata-kata nasihat dan motivasi diungkapkan oleh Tan Sri agar MCW terus maju ke hadapan serta berani menegur pihak-pihak tertentu yang menyalahgunakan kuasa.
Beliau sarankan agar MCW lebih lantang bersuara menolak keras calon yang tidak berintegriti dan masih berhadapan dengan kes mahkamah sebagai pemimpin negara.
Selain itu, MCW juga disarankan agar mengetuai agenda banteras rasuah dengan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, NGO dan orang perseorangan supaya usaha pencegahan rasuah dapat mencapai matlamat dengan lebih berkesan.
Sesi ini berakhir dengan laungan semangat perangi rasuah yang diketuai oleh Presiden MCW.
KAMI ANTIRASUAH
KAMI BENCI RASUAH
RASUAH MUSUH NEGARA!