MCW desak adakan PRU-15 segera-Utusan Malaysia

JAIS ABDUL KARIM

SHAH ALAM: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)  mendesak kerajaan segera mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk menghapuskan masalah politik negara yang makin meruncing dan krisis pelbagai kes rasuah yang tiada kesudahannya.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, kerajaan baharu nanti perlu fokus kepada pembangunan segera ekonomi negara dan kebajikan rakyat serta pembaharuan undang-undang berkaitan integriti politik yang masih gagal dilaksanakan sekarang.

“MCW yakin PRU-15 memberi kestabilan politik yang mampu mengeluarkan Malaysia daripada pelbagai masalah terutama berkaitan integriti dan tadbir urus yang negara yang lebih baik. Penangguhan pengumuman ini menyebabkan ugutan politik dan pelbagai permainan politik tidak sihat semakin berleluasa,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jais berkata, PRU-15  pasti memberi Malaysia sebuah kerajaan baharu pilihan rakyat yang akan segera menjenamakan semula imej negara dan menarik pelabur luar kembali ke negara ini.

“Rakyat mahu kerajaan yang stabil bagi mengembalikan maruah negara dan melawan segala fitnah yang kelihatan makin bersemarak. Semoga rayuan dan desakan ini mendapat perhatian serius kerajaan dan disokong oleh organisasi masyarakat serta semua rakyat yang semakin tertekan dewasa ini,” katanya. – UTUSAN