RESPONS MEDIA MCW BERKENAAN PENDEDAHAN CUBAAN MERASUAH DALAM SUKAN BADMINTON OLEH DATUK LEE CHONG WEI

RESPONS MEDIA MCW BERKENAAN PENDEDAHAN CUBAAN MERASUAH DALAM SUKAN BADMINTON OLEH DATUK LEE CHONG WEI
24 Ogos 2021

1. Datuk Lee Chong Wei sepatutnya melaporkan cubaan merasuah itu kepada pihak SPRM. Kegagalan melaporkan cubaan merasuah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 25(1) dan (2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih dari RM 100,000 jika sabit kesalahan. Seksyen 17 (1), Akta Pencegahan Rasuah 1997 juga memperuntukan kesalahan dan hukuman yang sama kepada kes yang berlaku sebelum tahun 2009. SPRM mesti menyiasat dakwaan ini.

2. Masalah rasuah dalam bidang sukan bukanlah baharu di Malaysia. Ianya sudah menular sejak sekian lama dan jika dibiarkan berlarutan boleh merosakkan masyarakat dan meruntuhkan negara. Industri sukan negara boleh terencat sekiranya masalah itu tidak dibanteras sepenuhnya.

3. Rasuah dalam sukan bukan hanya berkaitan dengan perolehan dana persatuan dan menggunakan jawatan untuk mendapat suapan, malah mengatur keputusan perlawanan, penyalahgunaan kuasa serta proses dalam membuat sesuatu keputusan juga ditakrifkan sebagai rasuah. SPRM telah mendefinisikan suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah mahupun pemberian diskaun.

4. MCW berpendapat bahawa isu rasuah dalam sukan di Malaysia masih berada pada tahap terkawal. Tindakan segera pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam mengambil langkah pembudayaan, pencegahan dan penguatkuasaan dari masa ke semasa adalah penting untuk memastikan ia tidak menjadi ‘barah’ kepada pembangunan sukan negara. Pastikan semua badan sukan kebangsaan bebas daripada budaya tidak sihat itu dan sebarkan semangat bebas rasuah kepada semua ahli sukan.

5. Trend gejala rasuah dalam sukan di Malaysia biasanya melibatkan aktiviti mengatur perlawanan yang melibatkan kejohanan ternama, hadiah besar dan pertaruhan sama ada secara sah atau pun tidak.

6. Banyak kes rasuah dalam sukan tidak dilaporkan atas pelbagai sebab. Kegagalan melaporkan kes ini tidak boleh dimaafkan kerana implikasinya cukup besar. Program kesedaran dan Pendidikan antirasuah kepada atlit dan badan sukan perlu diperbanyakkan. MCW sedia menawarkan diri dan dilibatkan sama dalam program ini.

Haji Jais Abdul Karim
Presiden
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*