Kepemimpinan baharu mesti punyai keazaman buat perubahan

Kepemimpinan baharu mesti punyai keazaman buat perubahan

43
0

KEPEMIMPINAN baharu negara nanti mesti mempunyai keazaman politik yang tinggi untuk membuat perubahan penting dalam usaha mengintegritikan politik dan memberi tumpuan kepada agenda anti rasuah.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, keazaman politik itu juga mampu melegakan rakyat dan ‘menyembuhkan’ negara daripada pandemik COVID-19, ketidaktentuan ekonomi, kemelut politik dan juga wabak rasuah.

Pada masa sama, kata beliau, ahli politik yang sedang terlibat dengan kes di mahkamah perlu fokus untuk menyelesaikan dahulu kes masing-masing sebelum memikirkan usaha menerajui negara.

Beliau berkata, kehadiran mereka amat dialu-alukan selepas mahkamah membebas dan melepaskan daripada segala tuduhan tersebut.

“Ahli Parlimen mesti fokus kepada usaha memulihkan negara daripada pandemik COVID-19. Carilah titik tengah persamaan dengan menggembleng usaha dan bekerjasama agar ekonomi negara dapat dipulihkan segara.

“Kepentingan rakyat dan negara mesti diutamakan pada saat sukar ini. Ubahlah corak politik negara yang selama ini agak lebih mementingkan ‘kroni’ dan diri sendiri.

 

“MCW yakin dan percaya terhadap kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bagi menyelesaikan kemelut yang sedang melanda negara. Patik sekalian berjanji akan menjunjung segala titah perintah dan perkenan Seri Paduka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Jais berkata, rakyat juga mesti kekal tenang dan tidak terlalu mengikut emosi sehingga salah membuat tafsiran mengikut kaca mata sendiri tanpa merujuk fakta sahih.

Katanya, MCW mendapati wujud kebanjiran ‘pakar politik’ tidak bertauliah dalam media sosial yang boleh menyebabkan hilang kepercayaan terhadap pemimpin negara.

Beliau berkata, kebebasan memberi pandangan amat dialu-alukan namun mesti mempunyai batas dan menjaga sensitiviti tertentu agar tidak melanggar undang-undang.

“MCW juga mendesak rakyat untuk berani memilih calon berdasarkan karisma kepemimpinan, rekod perkhidmatan dan latar belakang peribadi yang bersih serta bukan semata-mata kerana parti yang disertai.

“Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang adalah medan penting untuk kita memilih wakil rakyat sebenar. Individu itu mestilah berintegriti tinggi, berani mempamerkan kuasa kepemimpinan yang telus dan sanggup berkorban untuk rakyat serta negara,” jelas beliau.

Kepemimpinan baharu mesti punyai keazaman buat perubahan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*