Tangani rasuah secara bersepadu

Tangani rasuah secara bersepadu

Mutu perkhidmatan Jabatan Imigresen pernah mendapat perhatian sebagai antara agensi awam paling berinovatif.

Namun, hari ini imej jabatan itu tercalar apabila ramai dalam kalangan anggotanya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan sindiket pemalsuan cop keluar masuk negara.

Beberapa minggu sebelum itu, media turut melaporkan isu sindiket judi dan Macau Scam membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Yang pasti, perkembangan berkaitan isu rasuah seminggu dua ini cukup menarik perhatian ramai.

Berdasarkan data dikeluarkan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pada Jumaat lalu, bilangan tangkapan kes rasuah di Malaysia oleh SPRM pada tahun lalu meningkat 23 peratus berbanding 2018.

Statistik menunjukkan peningkatan 79 peratus bagi kesalahan memberi rasuah, diikuti tuntutan palsu sebanyak 35.8 peratus.

Bagaimanapun, tangkapan bagi salah guna kedudukan dan kesalahan lain di bawah indeks jenayah rasuah menunjukkan penurunan masing-masing pada kadar 24.7 peratus dan 9.8 peratus.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, melahirkan kebimbangan mengenai aktiviti penyeludupan, pemerdagangan manusia serta kemasukan secara haram ke negara ini boleh berlaku selepas pembukaan semula pintu sempadan dibuat.

Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan serta aspek pencegahan efektif perlu dilaksanakan bagi menangani trend perlakuan rasuah dalam tempoh peralihan semasa dan pasca pemulihan COVID-19.

Azam turut menekankan kes rasuah membabitkan ketirisan perolehan kerajaan membabitkan penjawat awam semakin kritikal. Beliau memberi contoh jika sesuatu perolehan kerajaan bernilai RM1 juta, maka nilai rasuah juga akan naik berbanding nilai asas.

Ia sesuatu yang mengejutkan me-
ngambil kira kekangan kewangan dan sumber dihadapi kerajaan.

Jika dilihat aspek integriti dan ketirisan memperlihatkan senario yang serius.

Ketika negara meningkatkan penguatkuasaan bagi menangani masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pekerja asing tidak berdokumen atau menggunakan dokumen tidak sah, ketirisan keyakinan serta kepercayaan terhadap integriti dan profesionalisme agensi awam perlu ditangani dan dikembalikan.

Kajian menunjukkan amalan rasuah berpunca banyak faktor. Ini termasuklah kegagalan individu mengawal hawa nafsu, sifat tamak, defisit integriti dan ada yang dikatakan mahu memburu kekayaan dengan cepat.

Ini bukan kali pertama agensi awam berhadapan keadaan pegawai mereka terbabit isu integriti. Keadaan ini secara langsung menimbulkan persoalan mengenai keutuhan sistem dan mekanisme diambil bagi memerangi rasuah serta salah guna kuasa dan apa juga kes membabitkan budaya berintegriti dalam agensi awam.

Sikap selesa dan ketidaktegasan kepemimpinan terus menguji kepaduan pelaksanaan sistem, prosedur serta peraturan bagi memerangi rasuah dan integriti di tempat kerja.

Pendekatan pencegahan, pendidikan dan pendakwaan perlu disemak semula sesuai Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) yang digubal dua tahun lalu.

Tindakan kolektif dan kumulatif perlu diberi penekanan secara konsisten untuk mencapai sasaran sifar rasuah dan mengukuhkan budaya berintegriti.

NACP dan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang digubal 16 tahun lalu, perlu diaktifkan serta diperkasakan secara menyeluruh membabitkan setiap peringkat.

Selepas banyak inisiatif diambil dan pelbagai sumber dilaburkan, sudah tiba masa kita menyemak semula segala proses, sistem dan mekanisme dengan setiap pemimpin jabatan perlu memainkan peranan tegas bagi melahirkan Malaysia yang benar-benar bebas rasuah.

Setiap anggota masyarakat dan pemegang taruh juga perlu memainkan peranan proaktif bagi memastikan isu rasuah dapat ditangani secara bersepadu.

Ini bukan hanya tugas kerajaan dan agensi awam semata-mata, sebaliknya memerlukan pembabitan dua hala.

Penulis adalah Ahli Panel Pemikir Kementerian Perpaduan Negara

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*