Rasuah adalah satu dosa besar dalam agama Islam yang kerap berlaku dalam pelbagai bentuk termasuklah dalam perniagaan.
Sesetengah orang beranggapan dengan adanya rasuah dapat membantu mereka mendapatkan projek dan peluang perniagaan yang lebih luas dan memudahkan perjalanan projek mereka.
Rasuah adalah pemberian yang dibuat bertujuan untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang salah atau bukan dengan cara yang sebenar.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, “Dari Abdullah bin Amru katanya, Rasulullah bersabda Allah SWT melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN RASUAH?
Rasuah ialah apabila seorang cuba membayar sejumlah wang bagi melepaskan diri daripada saman trafik, dan duit itu pula diterima oleh penguatkuasa sebagai imbuhan untuk melepaskannya.
Rasuah ialah apabila seorang mengambil tawaran daripada seorang pembida agar peluang dia memenangi bida tersebut menjadi tinggi sebagai imbuhan.
Rasuah ialah apabila ada pihak menawarkan duit kepada pengundi supaya pengundi dapat mengundi pihaknya sebagai imbuhan.
Dalam erti kata lain, rasuah sebenarnya ialah tindakan memakan harta orang lain dengan cara yang batil iaitu menerima rasuah atau suap bagi mendapatkan manfaat seperti menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya atau merugikan lawannya, didahulukan urusannya atau ditunda kerana suatu kepentingan atau mendapatkan satu kedudukan dan pekerjaan yang tidak setimpal dengan kelayakan pemberi rasuah daripada mereka di kedudukan berkuasa.
Pengertian rasuah itu sebenarnya amat luas, ia bukan hanya tertumpu kepada masalah kewangan sahaja, tetapi juga termasuk penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan.
Yang menyayatkan hati ialah meskipun mengetahui rasuah ialah satu perbuatan jenayah, namun rakyat dan kerajaan telah membiarkan virus ini menular dan menjadi darah daging masyarakat.
Rasulullah S.A.W. dalam hadis sahih menyebut:”Pemberi rasuah, penerima rasuah & orang perantaraan menguruskan rasuah (orang tengah) semuanya sama akan dimasukkan ke dalam neraka.”
Hatta di dalam ayat Quran pun disebut rasuah adalah haram di sisi Islam.
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” Al-Baqarah: 188
Cuma masalahnya, ramai yang hanya mulutnya menolak rasuah, namun apabila berdepan dengan rasuah, ia pula dianggap rezeki.
Contoh yang paling mudah ialah rasuah kesalahan trafik. Yang memberi rasuah menganggap ia adalah rezekinya untuk membayar ‘denda’ yang jauh lebih rendah daripada sepatutnya manakala penerima rasuah menganggap ia adalah rezeki lebihan kerana berbuat baik melepaskan seorang pesalah trafik.
Perkara yang sama juga berlaku di peringkat yang lebih tinggi, apabila pembida kontrak memenangi bidaan yang tidak sepatutnya dimenangi melalui rasuah menganggap itu adalah rezekinya. Penerima rasuah pula berasa ia adalah rezeki tambahannya kerana ada pembida yang sanggup membayarnya, kerana baginya tiada beza sekiranya projek itu dianugerah kepada pembida A mahupun B.
Ramai juga yang tidak mengerti kesan rasuah. Penerima rasuah merasakan rezeki mereka bertambah sehingga mereka boleh hidup mewah di luar kemampuan mereka. Pemberi rasuah pula selalu mendapat manfaat daripada cara yang batil walaupun mereka tidak layak dan merompak hak mereka yang layak.
Jelas, mereka yang dipandu hawa nafsu, sifat tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat dan tidak bersyukur sehingga melibatkan diri dalam rasuah gagal membuat penilaian dengan waras tentang isu-isu rasuah.
Rasuah bukan sahaja menaikkan kos sara hidup, akan tetapi ia juga mengganggu dan membantu pentadbiran sesebuah kerajaan. Dunia perniagaan menjadi tidak menentu dan menjurus ke arah kerugian. Pelabur hilang minat melabur di negara, dan ini mengurangkan peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi.
Akhirnya, rakyat yang akan susah kerana sebahagian kos sara hidup mereka telah ditelan oleh rasuah.
Rasuah menjadi punca utama rosaknya rakyat Malaysia sebagai satu bangsa yang bermaruah dan tercemarnya imej Islam. Rasuahlah yang membawa negara ke tahap hari ini. Tidak keterlaluan jika kita menggelar sesiapa yang bersubahat dengan rasuah adalah pengkhianat NEGARA.
*Bagaimanakah rakyat dapat diajak membenci rasuah? Bagaimana kita boleh bersama mendidik rakyat bahawa rasuah itu bukan satu rezeki?*
Di dalam Islam, telah ditekankan bahawa balasan bagi perbuatan rasuah itu tidak lain ialah neraka jahanam. Itulah seksaan dan azab pemberi rasuah dan penerima rasuah. Namun amaran ini dipandang lekeh kerana ramai yang hanya hidup mengejar dunia, tanpa mempedulikan kesannya di akhirat. Malah, sesungguhnya rasuah adalah perbuatan haram yang boleh mengakibatkan tertolaknya ibadah seorang Muslim.
Mereka yang menikmati rasuah sebagai rezeki juga lupa kesannya kepada ahli keluarga yang diberi makan minum dari hasil yang haram tersebut. Sedangkan Rasulullah ada menyebut dalam hadis Baginda akan balasan orang yang memakan makanan yang haram dan tidak halal.
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”. Al-Baqarah: 168
*Kerja memerangi rasuah yang kini menunjang di Malaysia bukanlah satu tugas yang mudah. Namun, ia tidak mustahil asalkan semua pihak dapat sama-sama berusaha untuk mencapai matlamat tersebut.*
*MCW akan terus menggunakan pendekatan agama dan bekerja keras tanpa mengira jemu berjihad menentang rasuah, kerana rasuah adalah satu penyakit yang paling bahaya untuk sesebuah negara dan rakyatnya.*
Leave a Reply