Jangan jadikan SPRM kambing hitam

Jangan jadikan SPRM `kambing hitam’
Oleh: ZULKIFLI JALIL
Utusan Malaysia ms14, 11 Ogos 2020.
PUTRAJAYA: Sesiapapun yang sedang menghadapi pertuduhan rasuah harus mempertahankan diri di mahkamah tanpa menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai `kambing hitam’ atau mempunyai agenda politik.
Mengingatkan perkara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki menegaskan, badan yang diketuainya tidak ada agenda politik dalam menyiasat kes-kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa melibatkan pemimpin atau tokoh tertentu.
“SPRM sendiri pun tidak pernah tutup kes 1MDB dan SRC (SRC International Sdn. Bhd.) melibatkan pemimpin Barisan Nasional pada zaman berkenaan, tetapi apabila Lim Guan Eng (bekas Menteri Kewangan) persoalkan SPRM, anda (Guan Eng) fikirlah sendiri.
“Dan sekurang-kurangnya SPRM sudah menunjukkan kematangan dalam menjalankan tugas dengan perkara ini (siasatan SPRM) terserlah apabila beliau (Guan Eng) sudah dituduh di mahkamah,” kata beliau kepada Utusan Malaysia di ibu pejabat agensi itu di sini semalam.
Azam berkata, sesiapa yang mahu memberi ulasan atau komen terhadap sesuatu kes mahkamah harus menjurus ke arah penambahbaikan, bukannya secara melulu.
“Agensi ini (SPRM) bukan milik saya tetapi agensi ini ditubuhkan oleh masyarakat Malaysia sendiri sejak 1 Oktober 1967.
“Masing-masing apabila buat komen, saya lihat ia subjudis kepada sesuatu perbicaraan. Perlu diingatkan, kalau kes yang telah dikemukakan mahkamah, ia bukan kuasa SPRM. SPRM hanya badan penyiasat, penyiasatan kita bebas daripada pengaruh mana-mana pihak,” kata beliau.
Sabtu lalu, Guan Eng memuat naik status di Facebook miliknya menyatakan tidak puas hati kerana mendakwa telah diperlakukan dengan ‘tidak adil’ oleh SPRM.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, dirinya cukup pilu dan pedih kerana isterinya juga telah ditahan oleh SPRM walaupun Betty Chew Gek Cheng didakwanya tidak ada kaitan dengan skandal terowong dasar laut Pulau Pinang mahupun perkara berkaitan kerajaan.
Jumaat lalu, Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Beliau mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan, sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Semalam, beliau dihadapkan pula ke Mahkamah Sesyen di Butterworth atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima wang suapan berjumlah RM3.3 juta berhubung projek terowong dasar laut berkenaan.
Guan Eng didakwa menerima suapan itu bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.
Bagaimanapun Setiausaha Agung DAP itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.
Guan Eng menyandang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dari 2008 hingga 2018.
Dalam pada itu, Betty Chew ditahan oleh SPRM selepas hadir ke pejabat badan itu di George Town pada pukul 11.15 pagi Jumaat lalu.
Menurut peguamnya, Lee Khai, isteri Guan Eng itu akan dituduh mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 di Mahkamah Butterworth hari ini.
Difahamkan, siasatan dilakukan berkaitan syarikat Excel Property Management and Consultancy Sdn Bhd.
Antara yang mengecam penangkapan Guan Eng ialah anaknya, Marcus dan Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok yang menyifatkannya sebagai bermotifkan politik.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago pula menyebut penahanan Setiausaha Agung DAP itu sebagai ‘berniat jahat dan bertujuan menyekat pembangkang.’
Pada 28 Julai lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC. – UTUSAN

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*