Beliau bukanlah orang politik pertama yang ditahan SPRM-KP SPRM

Respon KP SPRM berkenaan Kes YB LGE. Beliau bukanlah orang politik pertama yang ditahan SPRM

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bukan ahli politik pertama yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalaman sebelum dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata, keputusan menangkap seorang suspek bergantung pada budi bicara pegawai penyiasat dan diperuntukkan di bawah undang-undang.

Katanya, SPRM mengambil tindakan yang sama dalam kes yang melibatkan ahli politik lain termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jadi tak timbul masalah, tidak ada isu kerana ini satu perkara adalah tindakan budi bicara pegawai penyiasat.

“Dalam kes Guan Eng, keputusan pegawai penyiasat kena dihormati. Tiada masalah apa-apa dan ini bukan kali pertama seorang pemimpin politik ditahan,” katanya di sini hari ini.

Azam berkata, semua pihak perlu menghormati sebarang tindakan yang diambil pegawai SPRM termasuk menahan Setiausaha Agung DAP itu semalaman.

“Sekiranya ada mana-mana pihak rasa tak puas hati, saya persilakan buat aduan di mana-mana atau bawa ke mahkamah,” katanya.

Antara yang mengecam penangkapan Guang Eng ialah anaknya, Marcus dan Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok yang menyifatkannya sebagai bermotifkan politik.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dalam satu kenyataan menyebut penahanan Lim semalam sebagai ‘berniat jahat dan bertujuan menyekat pembangkang.’

Dalam pada itu, Azam menegaskan suruhanjaya itu menggunakan budi bicara ketika memanggil Guan Eng ke SPRM kerana beliau perlu hadir sidang Dewan Rakyat.

“Untuk kes Guan Eng, untuk pengetahuan semua, pegawai penyiasat saya dan beliau telah setuju beliau datang.

“Sepatutnya pukul 3 petang tapi menghormati beliau ada sesi Parlimen, maka kita benarkan dia habiskan sesi Parlimen dan beliau berjanji datang lepas sesi Parlimen selesai,” ujarnya.

Semalam, Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta suapan berkaitan projek terowong bawah laut Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan minta dibicarakan serta dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1 juta. – UTUSAN 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*