Khas-Pendapat Campur tangan politik di mahkamah

KHAS » Pendapat
Campur tangan politik di mahkamah
02 Aug 2020

TUN ABDUL HAMID MOHAMAD
“PENDIRIAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak mahu mencampuri urusan mahkamah berkenaan kes berprofil tinggi wajar dipuji. Ini adalah manifestasi kepada usaha membersihkan institusi kehakiman negara. Semoga reformasi ini akan berjaya direalisasikan sepenuhnya.”

Itu adalah perenggan pertama dalam rencana yang ditulis oleh Prof Dr Haim Hilman daripada Pusat Pengajian Pengurusan dan Keusahawanan, College of Business, Universiti Utara Malaysia dan disiarkan oleh Sinar Harian pada 30 Julai lalu.

Rencana saya ini hanya berkenaan perenggan itu dan tertumpu kepada keputusan hakim dalam sesuatu kes. Ia tidak termasuk campur tangan, jika ada, dalam keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya dan lain-lain.

Apakah kesimpulan (inference) yang kita boleh buat daripada tiga ayat itu? Bagi saya, kita boleh membuat kesimpulan-kesimpulan berikut:

(1) Adalah perkara biasa bagi Perdana Menteri untuk campur tangan dalam keputusan hakim dalam sesuatu kes atau, sekurang-kurangnya, perkara seperti itu berlaku;
(2) Bahawa tindakan Muhyiddin yang tidak campur tangan dalam kes Najib itu wajar dipuji;
(3) Bahawa institusi kehakiman negara tidak bersih daripada campur tangan sedemikian;
(4) Tindakan Muhyiddin itu menunjukkan satu usaha untuk membersihkan institusi kehakiman negara; dan
(5) Ia adalah satu reformasi yang diharapkan akan berjaya.
Mengenai (1), dalam ucapan saya bertajuk Independence of the Judiciary: My Personal Experience di Universiti Teknologi Mara pada 10 Jun 2015 antara lain, saya berkata:

“Saya bercakap daripada pengalaman, bukan daripada persepsi atau buku. Saya menghabiskan 21 tahun sebagai pegawai di Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, memegang pelbagai jawatan, termasuk Ketua Pendakwaan. Saya menghabiskan 18 tahun di Badan Kehakiman, menjadikan keseluruhannya 39 tahun. Saya bersidang di semua mahkamah di negara ini daripada Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan hingga ke Mahkamah Persekutuan.”“Saya juga mengetuai Mahkamah Khas dan menjadi Hakim Mahkamah Rayuan Syariah.

Sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, saya mendengar rayuan yang melibatkan seorang Ketua Menteri Barisan Nasional di sebuah negeri. Penghakiman majoriti yang saya tulis membatalkannya daripada jawatan tersebut. Sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, saya mengetuai Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan kes liwat pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penghakiman majoriti yang saya tulis melepas dan membebaskannya. Sebagai Ketua Hakim Negara, saya mengetuai persidangan Mahkamah Khas yang mendengar tuntutan sivil terhadap mantan Yang di-Pertuan Agong dan Raja yang sedang bertakhta di sebuah negeri. Keputusan sebulat suara Mahkamah yang saya tulis memerintahkannya membayar plaintif sebanyak AS$1 juta. (Anda boleh membaca semua penghakiman itu di laman web saya).

”Dalam tempoh 39 tahun kerjaya, saya tidak pernah menerima panggilan telefon atau nota, dan tidak ada sesiapa yang menghampiri saya bagi pihak pentadbiran, eksekutif atau ahli politik untuk mengarahkan, meminta, mencadangkan atau membayangkan bagaimana saya patut memutuskan sesuatu kes.

Ya, memang benar bahawa sebelum saya mendengar rayuan kes Anwar, ada seorang (bukan ahli politik) berkata kepada saya, “Sekiranya anda melakukannya dengan betul, salah satu jawatan kosong yang lebih tinggi itu boleh menjadi milik anda.”

Saya menjawab, “Saya tidak tahu apa keputusan saya kelak, tetapi saya bersedia untuk bersara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.” (Ertinya, saya sanggup jika tidak diberi kenaikan pangkat). Kemudian, saya berkata kepada hakim-hakim yang bersidang bersama saya: “Jika ada sesiapa cuba mempengaruhi saya, saya akan naik ke mahkamah, menyatakannya secara terbuka dan menarik diri daripada mendengar rayuan kes itu.” Selepas itu, tidak ada sesiapa yang cuba mempengaruhi saya lagi. Saya tidak tahu mengenai hakim lain.

https://www.sinarharian.com.my/article/94837/KHAS/Pendapat/Campur-tangan-politik-di-mahkamah

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*