Tahniah diatas komitmen kerajaan Malaysia yang terkini dalam Meneruskan usaha Pencegahan Rasuah dan Salah Guna Kuasa dalam negara ini.

*Tahniah diatas komitmen kerajaan Malaysia yang terkini dalam Meneruskan usaha Pencegahan Rasuah dan Salah Guna Kuasa dalam negara ini.*

 

 

Pagi ini saya telah menjawab pertanyaan Yang Berhormat Beaufort pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat mengenai komitmen Kerajaan dalam menangani isu integriti dan rasuah serta status inisiatif di dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019 – 2023.
Kerajaan Perikatan Nasional pada 11 Mac 2020 telah menyatakan komitmen untuk menentang dan membanteras rasuah dengan meningkatkan tadbir urus dan integriti melalui pelaksanaan NACP. Ini bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengurusan Kerajaan berteraskan prinsip governans, integriti dan antirasuah.
Hal ini selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa Sidang Pembukaan Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 pada 18 Mei 2020 yang lalu agar Kerajaan terus melaksanakan NACP.
Untuk makluman, sehingga 31 Mei 2020 sebanyak 28 inisiatif di bawah (6) strategi pelaksanaan NACP berkenaan telah selesai dilaksanakan iaitu:
i) Tadbir Urus Politik : 13 Inisiatif
ii) Pentadbiran Sektor Awam : 3 Inisiatif
iii) Perolehan Awam : 4 Inisiatif
iv) Perundangan/Kehakiman : 1 Inisiatif
v) Penguatkuasaan Undang-Undang : 5 Inisiatif
vi) Tadbir Urus Korporat : 2 Inisiatif
Selain itu, peranan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah (GIACC) sebagai Sekretariat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) dikekalkan bagi memastikan hasrat murni Kerajaan ini dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.
Jawatankuasa Antirasuah (JAR) yang dilaksanakan di beberapa peringkat Kementerian dan Jabatan juga akan diteruskan bagi memastikan dasar yang dirangka tidak berkompromi terhadap sebarang tindakan rasuah.
Semua pendekatan dan usaha ke arah membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa akan diberikan penekanan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui dasar-dasar yang telah dipersetujui seperti yang dinyatakan dalam inisiatif NACP 2019 – 2023.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*