MCW anjur program anti rasuah di Singapura

SHAH ALAM – Malaysia Corruption Watch (MCW) menganjurkan satu program anti rasuah khas di Singapura selama tiga hari bersempena dengan sambutan Hari Rasuah Antarabangsa 2018 (Hara 2018).

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya bersama delegasi seramai 35 orang terdiri daripada ahli lembaga penasihat, ahli jawatankuasa (AJK), ahli panel pemikir dan aktivis badan bukan kerajaan (NGO) itu mengadakan program berkenaan bagi mendalami aspek berkaitan anti rasuah dan memperkasakan pengetahunan dalam bidang undang-undang berkaitan gejala rasuah.

Beliau berkata, dengan langkah ini, ia sedikit sebanyak dapat menjadi pendorong dalam memberi kesedaran buat ahli MCW untuk menjauhi budaya berkenaan.

“Program kami bermula dengan lawatan ke bangunan Parlimen Singapura di mana terdapat banyak maklumat penting seperti keistimewaan sistem pentadbiran, penggubalan undang-undang dan sistem politik di sana.

“Dan kami juga turut mengadakan sesi ramah mesra bersama pihak Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura bagi mempelajari strategi dan kaedah sistem tadbir urus yang baik dari Singapura dalam menangani budaya rasuah,” katanya.

Mengulas lanjut, Jais berkata pihaknya turut berkesempatan untuk mengikuti program bicara bersama pakar pemikir di Taman Bacaan Pemuda Pemudi Singapura yang bertajuk ‘Membanteras Rasuah di Singapura: Belajar daripada Kejayaan dan Kegagalan’.

Beliau berkata, lima aspek yang diketengah dalam program bicara berkenaan adalah melibatkan tahap rasuah sektor awam di 27 negara Asia pada tahun lalu dan kejayaan atau kegagalan dalam memerangi rasuah.

“Pihak kami akan melakukan penilaian terhadap program ini selepas ini bagi memastikan hala tuju dan objektif penubuhan MCW tercapai dalam membantu kerajaan dalam membasmi budaya rasuah.

“Strategi dan idea-idea berkaitan ini akan dibincangkan dari masa ke semasa bagi memastikan tiada ruang buat perasuah di negara ini,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/selangor-kl/mcw-anjur-program-anti-rasuah-di-singapura-1.914443

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*