MCW perlukan pasukan kritis, hebat pantau kerajaan

MCW perlukan pasukan kritis, hebat pantau kerajaan

KUALA LUMPUR – Badan bukan kerajaan (NGO) Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mempelawa orang awam untuk menyertai pasukan itu dalam usaha membanteras rasuah dalam negara.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata bagi tujuan itu, MCW akan menyediakan latihan yang bersesuaian untuk memperlengkapkan fizikal dan mental masyarakat yang berminat menyertai NGO berkenaan.

Jais berkata, sebagai rakan strategik gerakan pencegahan rasuah, MCW mampu mengeluarkan laporan analisis (tanpa rasa takut atau pilih kasih) terhadap pencapaian kerajaan PH dalam menunaikan janji serta memastikan rasuah dapat dikekang menjelang tempoh akhir lima tahun memerintah Malaysia baharu.

“Tugasan ini bukanlah mudah dan memerlukan pasukan MCW yang hebat dan kritis bagi memastikan aktiviti ‘check and balance’ terlaksana. Pemimpin MCW memerlukan kemahiran memahami manifesto PH dan peka memerhati pelaksanaan dalam setiap agenda kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Jais, MCW kini semakin agresif bertindak sebagai badan pendesak dan memantau pelaksanaan manifesto PH khususnya berkaitan iltizam kerajaan membanteras rasuah dan meningkatkan integriti penjawat awam.

Antara fokus MCW adalah dana parti politik, kos sara hidup penguat kuasa agar mereka tidak perlu mengambil rasuah dan memastikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia benar-benar berfungsi sebagai suruhanjaya bebas di bawah Parlimen dengan peruntukan yang mencukupi.

Turut diberi tumpuan adalah mewujudkan sistem atau akses bagi memudahkan rakyat meneliti harta dan sumber pendapatan setiap pemimpin negara dan penjawat awam secara telus dan mendedahkan kelemahan agensi kerajaan terutamanya yang masih terpalit dengan masalah rasuah dan salah guna kuasa, katanya.- Bernama

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*