SHAH ALAM – Kerajaan diingatkan memperhalusi semula polisi pelantikan mana-mana pegawai dalam pentadbiran agar tidak mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, memetik kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia Baru perlu lebih baik termasuklah dalam soal penjawat awam yang perlu bersih dan kelihatan bersih dari rasuah serta salah laku.
Menurutnya, Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, Mohd Azhar Che Mat Dali tidak sepatutnya mengangkat sumpah jawatan kerana sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan keraguan melangsaikan hutang berjumlah RM800,000.
“Kerajaan sepatutnya melantik orang yang bersih dan kelihatan bersih serta berintegriti. Kalau benar-benar berintegriti, beliau (Mohd Azhar) tidak akan mengangkat sumpah.
“Sepatutnya menteri menangguhkan dahulu pelantikan beliau bagi jawatan berkenaan. Biar pihak berkuasa jalankan siasatan dan selepas itu kalau tidak bersalah, angkat la sumpah bertugas. Sekarang ini kalau beliau didapati bersalah, adakah kerajaan bersedia berdepan dengan kritikan?” soalnya.
Selain Mohd Azhar bersama 22 individu lain turut mengangkat sumpah semalam, antaranya tiga setiausaha politik kepada Perdana Menteri iaitu Muhammad Zahid Md Arip, Datuk Mohamad Nuhairi Rahmat dan Abu Bakar Yahya.
Setiausaha politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Romli Ishak, Datuk Mohd Nardin Awang (Menteri Dalam Negeri), Ahli Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee (Menteri Kewangan), Mohd Azhar Che Mat Dali (Menteri Pertahanan) dan Mohd Nizam Morad (Menteri Pendidikan).
Bekas pengacara program Ruang Bicara di Bernama News Channel, Datuk Dahlan Maamor mengangkat sumpah sebagai setiausaha politik Menteri Pengangkutan.
Mengulas lanjut, Jais berkata, sekiranya kerajaan pada hari ini berterusan tidak menepati janji sendiri, kredibiliti akan terus dipertikai.
“Saya kira pertikaian ini sesuatu yang tidak baik untuk kerajaan baharu jika ia berterusan. Tunjukkan kerajaan hari ini adalah kerajaan bertanggungjawab bukan sahaja kepada agama, negara dan rakyat tetapi kepada apa yang dijanjikan dalam soal integriti.
“Apakah kerajaan hari ini mahu seperti kerajaan terdahulu. Ini kerajaan baharu yang menjadi harapan kepada rakyat untuk membuat perubahan,” katanya.
Leave a Reply