Dakwaan punca CPI merosot tidak munasabah

25 Februari 2018 3:00 AM

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Pre­siden Transparency International Ma­laysia, Datuk Akhbar Satar perlu membuktikan dakwaan kemerosotan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara disebabkan isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Felda serta penahanan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak munasabah, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, beliau tidak boleh menerima alasan tersebut terutama apabila mengaitkan isu-isu itu sebagai punca kepada kemerosotan CPI negara.

TUNKU ABDUL AZIZ

“Itu pandangan dia (Akhbar). Boleh ke dia cakap dengan jelas dan membuktikan ketiga-tiga isu tersebut merupakan punca kepada kejatuhan CPI.

“Kajian mengenai indeks ini dibuat dalam jangka masa yang panjang dan pastinya sebelum Rafizi disabitkan atas kesalahan mendedahkan skandal Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), jadi bagaimana Akhbar boleh mengaitkannya sebagai punca kemerosotan CPI,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Tunku Abdul Aziz mengulas kenyataan Akhbar mengenai beberapa faktor yang boleh dikaitkan sebagai punca kepada kemerosotan CPI sehingga meletakkan Malaysia di tujuh tangga lebih bawah berbanding tahun sebelum ini.

AKHBAR SATAR

Tambah Tunku Abdul Aziz, Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya dipuji kerana tidak pernah melindungi sesuatu isu sebaliknya sering mendedahkannya.

Sementara itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, Rafizi tidak dilindungi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 kerana telah mendedahkan maklumat secara terbuka.

JAIS ABDUL KARIM

“Responden dipilih secara rawak antaranya ahli perniagaan, mungkin ada yang tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara jadi mereka memberikan maklum balas yang kurang memberangsangkan.

“Kemungkinan terdapat responden yang gagal mendapatkan maklumat yang sahih mengenai sesebuah isu dan ini boleh menjadi antara sebab berlakunya kemerosotan dalam kedudukan CPI negara,” katanya.

Tambahnya lagi, MCW mencadangkan sebuah jawatankuasa induk pencegahan rasuah peringkat ASEAN diwujudkan agar penilaian yang lebih tepat dapat dilakukan berdasarkan budaya dan situasi setempat dengan cara yang lebih efektif.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/dakwaan-punca-cpi-merosot-tidak-munasabah-1.615965#ixzz587QALWdn
© Utusan Melayu (M) Bhd

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*