MCW kongsi ilmu dengan pihak berkuasa Indonesia

ZAHRAIN

JAKARTA 15 Dis. – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) diharap memainkan peranan menyokong segala usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa terutama untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai gejala itu.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang baru berusia lima bulan itu kini sedang menga­dakan lawatan il­miah ke Indonesia bagi mendapatkan maklumat berhu­bung komitmen baharu negara itu untuk menghapuskan rasuah iaitu gejala yang disifatkan telah sebati dengan budaya di negara tersebut.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, beliau menga­lu-alukan kedatangan seramai lebih 30 orang dele­gasi MCW ke negara itu bagi mempelajari transformasi yang sedang dilaksanakan pihak berkuasa Indonesia, Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) untuk memperbaiki persepsi rasuahnya.

Jelas Zahrain, Malaysia dan Indonesia sering dilabelkan sebagai antara negara yang mempunyai tahap rasuah agak buruk dan sehubungan itu perkongsian ilmu sesama ke­dua-dua negara penting bagi meningkatkan kualiti pengu­atkuasaan undang-undang.

“Malaysia dan Indonesia berkongsi masalah yang sama, oleh itu kerjasama melibatkan pihak berkuasa dan NGO antara kedua-dua negara amat penting.

“Kerajaan Indonesia kini serius menangani rasuah dan terdapat beberapa gabenor wilayah dan ahli Parlimennya didakwa atas tuduhan rasuah dan ini sesuatu yang perlu kita selami untuk mengetahui bagaimana komitmen membanteras rasuah ini dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menerima lawatan Kunjungan Ilmiah MCW ke Jakarta di Kedutaan Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir ialah Presiden MCW, Jais Abdul Karim.

Mengulas lanjut kata Zahrain, MCW pada masa sama perlu berpe­ranan untuk memperbetulkan per­sepsi masyarakat terhadap SPRM kerana sesetengah pi­hak masih mengaitkan usa­ha membanters rasuah dan penyelewengan sebagai motif politik.

“MCW perlu mendidik ra­k­yat bahawa soal mengurangkan rasuah bukan sekadar membabitkan wang ringgit tetapi juga mengenai minda masyarakat yang perlu melihat gejala ini secara menyeluruh dan bukannya secara persepsi atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak,” katanya.

Dalam pada itu Jais berkata, lawatan ilmiah bermula semalam hingga esok itu diadakan bagi pihaknya menilai sendiri antara bentuk pendekatan baharu diamalkan oleh Indonesia dalam membanteras rasuah yang mungkin boleh dikete­ngahkan di Malaysia.– Utusan

Artikel Asal: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mcw-kongsi-ilmu-dengan-pihak-berkuasa-indonesia-1.573791#ixzz51PupIRIt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*