Pandangan Presiden MCW@Rencana Berita Harian 13 Mei 2024
Hukuman tanpa pilih kasih atasi ketirisan dana awam
Oleh Jais Abdul Karim
bhrencana@bh.com.my
Baru-baru ini, rakyat dikejutkan dengan pendedahan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, negara kehilangan se- jumlah RM277 bilion akibat rasuah dalam tempoh lima tahun bermula 2018 hingga 2023.
Ketirisan ratusan bilion ini petunjuk jelas rasuah adalah satu masalah kritikal di negara ini kerana merosakkan integriti institusi awam dan menyebabkan kerugian besar kepada ekonomi serta rakyat.
Barah rasuah jelas menjadi ‘penyakit’ utama negara ini. Dari sudut politik, kerugian ini adalah tuduhan kritikal terhadap kelemahan kerajaan terdahulu yang memerlukan siasatan lanjut.
Walaupun ada pelbagai usaha menambah baik tatakelola dan kesedaran isu rasuah, agensi dan penjawat awam, masih menjadi peratusan tertinggi disiasat SPRM dan dijatuhkan hukuman mahkamah.
Trend ini seharusnya berubah dengan pelbagai seruan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tindakan tegas serta berterusan pihak SPRM melalui Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) diperkenal baru-baru ini. Komitmen semua ketua jabatan dan agensi dalam melaksanakan strategi ini pasti membuahkan hasil positif.
Soal ketirisan ini ibarat penyakit yang tiada penawar kecuali kematian. Namun, amalan negatif seperti tidak amanah, tamak, suka membuang masa, mahu gaji lebih namun malas bekerja serta berbelanja melebihi pendapatan boleh dihapuskan menerusi pendidikan berterusan, menambah baik budaya korporat serta sistem pengurusan atau penguatkuasaan lebih telus dan berintegriti.
Tambah baik undang-undang
Selain itu, perjanjian baharu antara penjawat awam dan kerajaan amat diperlukan bagi memastikan masalah ini diatasi segera, terutama hal berkenaan penguatkuasaan tegas terhadap pelanggaran etika dan kod tingkah laku yang selaras dengan kenaikan gaji terkini.
Namun, aspek undang-undang juga perlu diberi tumpuan kerana undang-undang sedia ada mempunyai kelemahan dalam penguatkuasaan dan hukuman tidak mencukupi bagi menangani isu ketirisan dana awam.
Penambahbaikan undang-undang dan peningkatan penguatkuasaan perlu diambil kira bagi memastikan keberkesanan undang-undang dalam menangani isu ini.
Selain undang-undang bersifat ‘punitif’ tegas, ia juga mesti ‘tidak selektif’, perlu dilaksanakan tanpa gentar dan tanpa pilih kasih. Pelbagai langkah pencegahan untuk mengukuhkan integriti juga mesti diperkenalkan dan dilaksanakan dengan segera bagi menangani permasalahan ini.
Justeru, bagi merombak sistem rasuah dalam agensi, perubahan besar diperlukan dalam pendekatan dan budaya organisasi. Ini termasuk meningkatkan pengawasan, akauntabiliti dan pembangunan budaya integriti kukuh.
Sistem penghargaan dan hukuman yang jelas juga penting untuk diperkenalkan bagi memastikan kepatuhan kepada prinsip tatakelola yang baik.
Pembaharuan dicadangkan menerusi NACS dilihat mampu memberi impak positif, tetapi ia mesti hadir bersama sokongan iltizam politik ditunjukkan pada hari ini.
Prinsip walk the talk dan pemimpin politik sendiri menjadi penggerak serta teladan utama pasti memberikan impak terbesar kepada usaha menangani isu ketirisan dana awam ini.
Semua reaksi:
7