Pengundi matang pilih calon rekod bersih, tak terpalit skandal
BARANGKALI tidak banyak diharapkan daripada keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada Sabtu ini memandangkan keputusannya kelak tidak mengubah status quo kerajaan Selangor, apatah lagi Persekutuan.
Namun, ia tetap menjadi tanggungjawab setiap pengundi di DUN itu untuk turun mengundi dan memilih calon tepat bagi memastikan suara rakyat terus terpelihara demi masa depan lebih baik untuk semua.
Mengundi amat penting dalam jalur politik negara kerana ia satu-satunya jalan membentuk kerajaan bersih daripada rasuah dan penuh integriti.
PRK itu nanti bukan sekadar acara biasa, sebaliknya ia peluang unik bagi setiap pengundi di Kuala Kubu Baharu untuk memberikan suara mereka sebagai tindak balas terhadap perkembangan politik semasa dan mempengaruhi arah masa depan negara.
Kita mengakui tanggungjawab mengundi bukan beban berat, tetapi satu hak istimewa perlu dihargai dan digunakan dengan bijak. Setiap undi adalah satu langkah ke arah memastikan suara rakyat didengar dan diambil kira wakil dipilih.
Maka, jangan diremehkan kekuatan satu undi kerana ia boleh menjadi penentu perubahan yang besar. Pengundi perlu mempertimbangkan dengan teliti calon bertanding.
Pilih calon mempunyai rekod bersih dan berintegriti, tidak terjejas skandal atau kontroversi rasuah. Setiap pengundi perlu meneliti latar belakang calon, memeriksa rekod perkhidmatan mereka dan memastikan memenuhi kriteria kelayakan diperlukan.
Selain itu, perhatikan manifesto dan hasrat mereka dalam mewakili kepentingan rakyat Kuala Kubu Baharu. Calon memiliki visi jelas, agenda jujur dan komitmen teguh untuk membela hak serta kepentingan rakyat setempat perlu diberi keutamaan.
Jangan terpedaya kata-kata manis dan janji kosong, tetapi pastikan calon terbabit benar-benar memahami keperluan dan aspirasi komuniti Kuala Kubu Bharu.
Ciri terpenting dalam pemilihan calon adalah keperibadiannya dan berintegriti tinggi, tidak terbabit kesalahan jenayah atau memiliki sebarang kes tertunggak di mahkamah. Tolak calon mempunyai latar belakang peribadi tidak baik dan terkait rasuah.
Pendidikan calon prasyarat pemilihan
Suatu ketika dulu, pendidikan calon tidak menjadi isu penting dalam PRK tetapi kini, pengundi meletakkan kelulusan pendidikan tinggi yang sah sebagai satu prasyarat pemilihan utama. Rakyat mengharapkan wakil rakyat lebih baik daripada mereka.
Pengundi yang menjadi ahli parti bertanding, mesti memilih calon yang menghayati perjuangan dan manifesto parti, istiqamah dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan diri. Kaji dan pastikan calon tidak akan melompat parti walau apa pun berlaku.
Sementara itu, guru dan ibu bapa mempunyai peranan besar dalam memberi kesedaran dan advokasi politik kepada pelajar serta anak masing-masing supaya mereka memahami peranan ketika mengundi.
Terapkan kesedaran politik secara profesional supaya orang muda bukan saja turun mengundi demi menunaikan tanggungjawab tetapi mempunyai pengetahuan secukupnya untuk membuat pilihan tepat demi kestabilan politik negara.
Tahap literasi politik dan kesedaran mengundi golongan muda semakin meningkat pesat seiring ledakan media sosial. Maka, kita bukan saja mahu generasi muda yang sedar untuk mengundi, tetapi mahu menjadikan mereka warganegara matang dan bijak menilai membuat keputusan.
Pengundi matang seharusnya boleh membezakan manifesto realistik dan janji kosong, mampu membezakan individu dan parti berpaksikan rakyat dengan golongan ada agenda atau mementingkan diri serta berani menolak ahli politik tidak berintegriti demi mewujudkan sistem pentadbiran stabil.
Paling penting, 40,226 pengundi Kuala Kubu Bharu mempunyai kuasa membentuk destinasi politik negara dan tidak melepaskan peluang membuat perubahan positif. Yakinkan diri bahawa setiap undi adalah satu langkah ke arah membentuk masa depan lebih cemerlang untuk Malaysia.
Penulis adalah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)