MCW kemuka 100 aduan salah guna kuasa, rasuah kepada SPRM

 

PRESIDEN Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim bersama ahli Gabungan Pelajar Melayu Seme
PRESIDEN Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim bersama ahli Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang pada sesi dialog dan taklimat di Pejabat GPMS negeri di Kuantan, Pahang hari ini. – UTUSAN ONLINE

KUANTAN 24 Feb. – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) melaporkan kira-kira 100 kes kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perbuatan disyaki salah guna kuasa dan rasuah sejak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu ditubuhkan.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, sehingga kini, semua aduan berkenaan sedang dalam siasatan suruhanjaya terbabit.

“Kita sedia maklum untuk satu kes, pihak SPRM memerlukan masa kira-kira dua tahun untuk melakukan siasatan dan perlu 80 peratus bukti sebelum dibawa ke mahkamah.

“Kebanyakan kes yang kita laporkan adalah berhubung salah guna kuasa membabitkan penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog dan taklimat bersama ahli Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung ( GPMS) Pahang di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi GPMS Negeri, Wan Emril Nizam Wan Embong.

Jais berkata, selain aduan orang ramai, MCW juga bergerak secara aktif bagi memantau perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) iaitu di Cameron Highlands, Pahang baru-baru ini dan ketika ini di Semenyih, Selangor.

Untuk PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih katanya, seramai 20 ahli MCW telah ditauliahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raja (SPR) untuk menjadi pemerhati di situ.

“Untuk PRK Parlimen Cameron Highlands baru-baru ini, sebanyak tujuh aduan kita kemukakan kepada SPRM dan untuk Semenyih, sehingga kini lima aduan telah dibuat,” katanya.

Jelasnya, MCW menjadi rakan strategik SPRM bagi membantu agensi itu memberikan kesedaran kepada orang ramai berhubung kesalahan rasuah dan apa yang penting berani melaporkannya. – UTUSAN ONLINE

You need to add a widget, row, or prebuilt layout before you’ll see anything here. 🙂

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*