MCW kongsi idea, strategi tangani rasuah

Rombongan MCW yang diketuai Jais di hadapan Dewan Perwakilan Rakyat ketika kunjungan ilmiah ke negara itu kelmarin.

 

JAKARTA – INDONESIA. Pemerhati Rasuah Malaysia  (MCW), sebuah badan bukan kerajaan, berkongsi pengalaman dengan Indonesia bagi menangani jenayah rasuah terutamanya dalam usaha meningkatkan lagi kesedaran masyarakat.

Presidennya, Jais Abdul Rahim berkata MCW yang baru didaftarkan pada 24 Julai lalu, mengadakan lawatan ke Komisi Pemberantasan Korupsi Indonesia (KPK) dan Indonesia Corruption Watch (ICW) bermula semalam, bagi bertukar pandangan dan berkongsi strategi dan idea dalam meningkatkan penyertaan lebih aktif masyarakat untuk melaporkan jenayah itu.

“Kami melihat KPK sejak 10 tahun lepas begitu agresif dalam membanteras rasuah di Indonesia, begitu juga ICW yang ditubuhkan pada 1998, sebuah badan bukan kerajaan yang berjaya membentuk budaya bangsa Indonesia yang bencikan rasuah,” katanya.

Sejak 2004 sehingga kini, KPK telah melakukan penahanan dan pendakwaan berprofil tinggi membabitkan gabenor, pemimpin kanan parti politik, anggota parlimen, wali kota dan bupati, katanya.

“Sekalipun kedudukan ranking rasuah Malaysia lebih baik (ke-49 dalam Indeks Persepsi Rasuah 2016 Transparency International) berbanding Indonesia (ke-37), namun banyak perkara yang masih boleh kita pelajari daripada KPK dan ICW, di mana 10 tahun lepas, Indonesia  di kedudukan yang lebih bawah (ke- 28)  dan kini semakin melonjak ke kedudukan yang lebih baik,” katanya.

Jais dan rombongan turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Mohamed Zahrain Hashim yang turut memuji usaha MCW dalam membanteras rasuah.

MCW yang mempunyai 70 anggota merangkumi  profesional dan akademik itu turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim hari ini.

Jais berkata, sejak MCW didaftarkan Julai lepas, lebih 20 program melibatkan orang ramai dan institusi pengajian tinggi telah diadakan bagi meningkatkan lagi kesedaran masyarakat supaya lebih agresif melaporkan jenayah rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau MCW.

Sementara itu, Zahrain berkata MCW juga perlu memainkan peranan bagi membetulkan persepsi rasuah yang dilontarkan oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan politik.

Katanya media sosial ketika ini dilihat mudah menjatuhkan hukuman berkaitan jenayah rasuah terhadap kepimpinan negara tanpa berlandaskan fakta yang tepat sehingga menimbulkan kesan dan persepsi buruk kepada negara dan rakyat Malaysia oleh masyarakat luar.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan rasuah boleh membuat laporan kepada MCW menerusi e-mel: malaysiacorruptionwatch@gmail.com, atau menerusi WhatsApp di talian +6017 811 1472, atau  melayari laman web: www.corruptionwatch.my untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan MCW.  – Bernama

Artikel Asal: http://www.sinarharian.com.my/nasional/mcw-kongsi-idea-strategi-tangani-rasuah-1.771142

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*