JAKARTA 15 Dis. – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) diharap memainkan peranan menyokong segala usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa terutama untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai gejala itu.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang baru berusia lima bulan itu kini sedang mengadakan lawatan ilmiah ke Indonesia bagi mendapatkan maklumat berhubung komitmen baharu negara itu untuk menghapuskan rasuah iaitu gejala yang disifatkan telah sebati dengan budaya di negara tersebut.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, beliau mengalu-alukan kedatangan seramai lebih 30 orang delegasi MCW ke negara itu bagi mempelajari transformasi yang sedang dilaksanakan pihak berkuasa Indonesia, Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) untuk memperbaiki persepsi rasuahnya.
Jelas Zahrain, Malaysia dan Indonesia sering dilabelkan sebagai antara negara yang mempunyai tahap rasuah agak buruk dan sehubungan itu perkongsian ilmu sesama kedua-dua negara penting bagi meningkatkan kualiti penguatkuasaan undang-undang.
“Malaysia dan Indonesia berkongsi masalah yang sama, oleh itu kerjasama melibatkan pihak berkuasa dan NGO antara kedua-dua negara amat penting.
“Kerajaan Indonesia kini serius menangani rasuah dan terdapat beberapa gabenor wilayah dan ahli Parlimennya didakwa atas tuduhan rasuah dan ini sesuatu yang perlu kita selami untuk mengetahui bagaimana komitmen membanteras rasuah ini dikuatkuasakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menerima lawatan Kunjungan Ilmiah MCW ke Jakarta di Kedutaan Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir ialah Presiden MCW, Jais Abdul Karim.
Mengulas lanjut kata Zahrain, MCW pada masa sama perlu berperanan untuk memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap SPRM kerana sesetengah pihak masih mengaitkan usaha membanters rasuah dan penyelewengan sebagai motif politik.
“MCW perlu mendidik rakyat bahawa soal mengurangkan rasuah bukan sekadar membabitkan wang ringgit tetapi juga mengenai minda masyarakat yang perlu melihat gejala ini secara menyeluruh dan bukannya secara persepsi atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak,” katanya.
Dalam pada itu Jais berkata, lawatan ilmiah bermula semalam hingga esok itu diadakan bagi pihaknya menilai sendiri antara bentuk pendekatan baharu diamalkan oleh Indonesia dalam membanteras rasuah yang mungkin boleh diketengahkan di Malaysia.– Utusan
Artikel Asal: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mcw-kongsi-ilmu-dengan-pihak-berkuasa-indonesia-1.573791#ixzz51PupIRIt
© Utusan Melayu (M) Bhd
Leave a Reply