Kenyataan MEDIA MCW berkenaan PENYALAHGUNAAN GELARAN ISTANA DAN LAMBANG KUASA

1.Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius isu penyalahgunaan gelaran kehormatan dan lambang kuasa yang semakin berleluasa, seperti yang dilaporkan baru-baru ini melibatkan gelaran Datuk palsu dari negeri Pahang serta penyalahgunaan lambang Balai Undang Luak Johol oleh individu yang tidak berhak di Melaka.

2.MCW berpendapat bahawa tindakan seperti ini bukan sahaja menjejaskan integriti institusi tersebut tetapi juga mencemarkan maruah anugerah yang diberikan oleh institusi diraja dan institusi berdaulat negara secara keseluruhannya. Amalan ini menghakis kepercayaan masyarakat terhadap sistem kehormatan dan institusi perundangan yang sepatutnya dihormati dan dipelihara.

3.MCW menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas dan segera terhadap individu yang terlibat dalam penyalahgunaan gelaran dan lambang ini. Penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan dengan tegas tanpa sebarang kompromi, selaras dengan peruntukan undang-undang seperti Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar).

4.MCW juga ingin mengingatkan bahawa usaha membanteras penipuan dan penyalahgunaan ini perlu dilakukan secara berterusan dan menyeluruh. Setiap anugerah kehormatan yang diberikan oleh institusi diraja adalah lambang penghormatan tertinggi yang perlu dijaga dan dihormati. Begitu juga dengan lambang-lambang kuasa yang mewakili institusi perundangan tradisional dan budaya negara.

5.Selain itu, MCW menyeru agar masyarakat dididik mengenai kepentingan menghormati gelaran kehormatan dan lambang kuasa serta implikasi undang-undang yang bakal dihadapi sekiranya disalahgunakan. Kesedaran awam yang tinggi adalah penting untuk memastikan bahawa masyarakat tidak mudah terpedaya dengan individu yang menggunakan gelaran atau lambang palsu.

6.Dalam menghadapi cabaran ini, MCW komited untuk terus memperjuangkan nilai integriti dan menentang segala bentuk penipuan yang boleh merosakkan kepercayaan terhadap institusi negara. Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan masyarakat dalam usaha membanteras amalan-amalan yang tidak beretika ini.

Jais Abdul Karim
Presiden MCW