Pengusaha stesen minyak dalang penyeludupan diesel – MCW

Kuala Lumpur: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mendakwa kes penyeludupan diesel bersubsidi berpunca daripada keterlibatan sebahagian pengusaha stesen minyak di sempadan, yang menjual diesel dalam kuantiti tidak munasabah atau berulang kepada penyeludup.

Justeru, MCW menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menjalankan kajian terperinci, mengenai jumlah diesel yang terjual di stesen-stesen minyak di kawasan sempadan negara.

“MCW juga mencadangkan kajian ini membabitkan perbandingan jumlah diesel yang terjual dalam masa tiga bulan sebelum dan seminggu selepas kenaikan harga diesel yang diumumkan baru-baru ini,” menurut kenyataan MCW hari ini.

Kenyataan MCW memaklumkan jika terdapat perbezaan ketara dalam jumlah diesel yang terjual, tindakan tegas harus diambil terhadap stesen minyak yang terbabit, bagi memastikan tiada penyelewengan atau manipulasi yang merugikan pengguna dan negara.

Kenyataan MCW itu merujuk laporan media yang menyatakan bahawa beberapa stesen minyak di kawasan sempadan menunjukkan suasana lengang selepas pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel.

Disiarkan pada: Jun 24, 2024 @ 10:22pm