Buat kajian terperinci jumlah diesel terjual di stesen minyak sempadan negara – MCW

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) digesa supaya menjalankan kajian terperinci mengenai jumlah diesel yang terjual di stesen minyak di kawasan sempadan negara.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) digesa supaya menjalankan kajian terperinci mengenai jumlah diesel yang terjual di stesen minyak di kawasan sempadan negara.

Cadangan itu disuarakan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) dalam kenyataan hari ini.

Ia susulan laporan yang menyatakan bahawa beberapa stesen minyak di kawasan sempadan menunjukkan suasana lengang selepas penyasaran subsidi bahan api itu pada 10 Jun lalu.

Menurut MCW, kajian terperinci itu perlu melibatkan perbandingan jumlah diesel yang terjual dalam tempoh tiga bulan sebelum dan seminggu selepas kenaikan harga diesel baru-baru ini.

MCW berkata, langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel itu setelah berlakunya penyeludupan berskala besar di sempadan negara.

Jelasnya, kerugian yang dianggarkan berbilion ringgit itu berpunca daripada keterlibatan sebahagian pengusaha-pengusaha minyak di sempadan yang menjual minyak dalam kuantiti yang tidak munasabah atau berulang kepada penyeludup.

“Keadaan di mana beberapa stesen minyak berada dalam keadaan lengang menimbulkan persoalan mengenai tingkah laku pembelian diesel oleh pengguna terutama di kawasan sempadan.

“Kerajaan juga perlu mengambil tindakan tegas kepada pengusaha-pengusaha minyak yang menjadi punca kepada penyelewengan ini berlaku.

“Sekiranya terdapat perbezaan ketara dalam jumlah diesel yang terjual, tindakan tegas perlu diambil terhadap stesen minyak yang terlibat. Langkah ini penting bagi memastikan tiada penyelewengan atau manipulasi yang merugikan pengguna dan negara,” katanya dalam kenyataan itu.

Mengulas lanjut, MCW menegaskan kajian yang dicadangkan adalah penting untuk memastikan integriti pasaran bahan api negara dan melindungi kepentingan pengguna.

“Selain itu, kajian ini juga akan membantu mengenal pasti sebarang aktiviti penyelewengan yang mungkin berlaku di stesen minyak berhampiran sempadan negara yang berpotensi memberi kesan negatif kepada ekonomi serta kestabilan harga bahan api.

“MCW berharap KPDN akan mengambil perhatian serius terhadap permintaan ini dan bertindak segera untuk menjalankan kajian yang dicadangkan,” jelasnya.

Baru-baru ini, media melaporkan kehadiran kenderaan asing mengisi diesel di stesen minyak berhampiran pintu sempadan negara dilihat berkurang dengan ketara sejak penyasaran subsidi bahan api itu.

Beberapa stesen minyak yang terletak berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam mendapati tidak banyak kenderaan bernombor pendaftaran Thailand yang mengisi diesel di stesen berkenaan.