APAKAH KEWAJIPAN SESEORANG ITU SEKIRANYA DITAWARKAN ATAU DIBERIKAN SUAPAN RASUAH?

BAB 41
APAKAH KEWAJIPAN SESEORANG ITU SEKIRANYA DITAWARKAN ATAU DIBERIKAN SUAPAN RASUAH?
Jika anda seorang pegawai awam, adalah menjadi kewajipan anda melaporkan sogokan rasuah oleh orang awam khususnya peniaga atau kontraktor yang ada urusan rasmi dengan tugas anda. Anda telah melakukan kesalahan, jika tidak melaporkan sogokan rasuah. Jika disabitkan kesalahan, anda boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Hal ini diperuntukkan di bawah Seksyen 25(1) dan (2), Akta SPRM 2009. Begitu juga jika anda orang awam, sekiranya mana-mana pegawai awam cuba meminta suapan rasuah daripada anda. Anda hendaklah melaporkan segera kepada SPRM. Sekiranya tidak melaporkan sogokan atau tawaran suapan rasuah tersebut, adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 25 (3) dan (4), Akta SPRM 2009. Sekiranya disabitkan kesalahan, anda boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM10,000.00 atau kedua-duanya.
Ada kes di mana orang awam telah ditangkap dan dituduh di mahkamah kerana telah gagal melaporkan perbuatan tawaran atau permintaan wang rasuah kepada SPRM. Sebagai contoh kes terhadap Lim Eng Hoong, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), syarikat Elite Entertainment Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat telekomunikasi telah dihukum denda berjumlah RM80,000.00 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 April 2022 kerana telah gagal melaporkan pemberian suapan rasuah berjumlah RM26,000.00. Tertuduh mengaku bersalah atas lapan pertuduhan kerana gagal melaporkan permintaan wang rasuah daripada kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi, K. Theva Kumar kepada SPRM pada bulan Januari 2022. Pemberian wang itu adalah sebagai balasan kerana memberi maklumat aduan pelanggan syarikat telekomunikasi bagi syarikat tersebut daripada portal sistem perkhidmatan pengurusan pelanggan syarikat telekomunikasi terbabit. Dia dituduh mengikut Seksyen 25 (3) Akta SPRM 2009 membabitkan suapan rasuah berjumlah RM26,000.00. (FMT: 15 April 2022)