Penguatkuasaan tidak tegas punca warga asing bina petempatan haram

Penguatkuasaan tidak tegas punca warga asing bina petempatan haram
Oleh Essa Abu Yamin
Jun 3, 2024 @ 8:02pm
essabuyamin@bh.com.my

Kelemahan pihak berkuasa dipercayai menjadi punca utama kewujudan perkampungan haram didiami warga asing.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, berkata majikan lebih gemar mengambil pekerja asing kerana mahu memberi gaji yang jauh lebih murah, tetapi gagal memberikan mereka penempatan yang sesuai.

“Apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) atau agensi yang berkaitan mula berkompromi dan mungkin mereka menerima sesuatu daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) berkenaan, ia membuka ruang kepada penempatan haram berkenaan terus beroperasi.

“Kemungkinan wujud pemberian habuan lumayan daripada pihak tertentu kepada pihak berkuasa, sekali gus menyebabkan mereka menutup sebelah mata isu perkampungan haram berkenaan,” katanya.

Jais berkata, agensi kerajaan perlu membuka mata dan sedar dengan keburukan masalah berkenaan yang akan memberi kesan negatif kepada imej negara, ekoran tindakan majikan yang tidak bertanggungjawab.

“Sebagai permulaan, mungkin ketua-ketua penguat kuasa atau agensi berkaitan perlu meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada pegawai atau anggota bawahan mereka dengan melakukan sekurang-kurangnya lima atau lebih operasi dalam sebulan di penempatan haram berkenaan.

“Jika tidak ada arahan spesifik daripada pihak atasan, pegawai atau anggota bawahan mereka tidak akan melakukan tindakan sewajarnya terhadap isu terbabit.

“Apabila pihak atasan lebih cakna dan fokus, baharulah pegawai bawahan akan menjalankan tanggungjawab mereka. Letakkan KPI dan pantau mereka di bawah melaksanakan tugasan mereka ataupun tidak. Jika tidak, mungkin perlu ambil tindakan tegas terhadap mereka,” katanya.

Menurut Jais, ketua penguat kuasa atau agensi yang berkaitan perlu menunjukkan satu contoh tindakan yang tegas terhadap orang bawahan mereka menyebabkan mereka yang lain tidak berani melakukan kesalahan dan melaksanakan tugas dengan penuh integriti.

“Isu yang berlaku ketika ini apabila ada pegawai bawahan yang terbabit dengan rasuah, mereka hanya dipindahkan daripada satu jabatan ke jabatan yang lain. Mereka bebas melakukan kesalahan yang sama di jabatan yang mereka dipindahkan.

“Daripada situ dapat dilihat tidak ada ketegasan dalam mengambil tindakan untuk membuang kerja mengikut tahap keseriusan rasuah yang mereka lakukan itu,” katanya.

Selasa lalu, warga asing daripada etnik Rohingya menjadikan kawasan tanah milik kerajaan di Sentul di sini sebagai perkampungan haram atau sebagai kawasan tempat tinggal mereka yang dilengkapi dengan kemudahan elektrik dan air, bercucuk tanam, selain memelihara ternakan dan mempunyai kedai runcit.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata operasi bersepadu itu dilaksanakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).