KUNJUNGAN HORMAT MCW KEPADA YB DATUK EWON BENEDICT, MENTERI PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN KOPERASI

KUNJUNGAN HORMAT MCW KEPADA YB DATUK EWON BENEDICT, MENTERI PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN KOPERASI

PUTRAJAYA, 16 Januari 2024- Delegasi MCW yang diketuai oleh Timbalan Presiden, Prof. Dato’ Dr. GP Doraisamy bersama Setiausaha Agung, Saudara Rosdi Amir, Naib Presiden, Saudara Qamar Arif Auzi, Penasihat Ulung, Dr. Yahya Mat Hassan dan ahli seumur hidup Dr. Maximus Pheng disambut baik oleh YB Menteri, Datuk Ewon Benedict serta pegawai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pagi tadi.

Sesi kunjungan hormat ini dimulai oleh Timbalan Presiden 2 MCW, Prof.Dato’ Dr. Doraisamy dengan memperkenalkan MCW dan pelbagai isu terkini berkenaan masalah integriti yang mempengaruhi rakyat terutamanya golongan usahawan.

Beberapa cadangan program pendidikan integriti dan Antirasuah dibentangkan untuk dilaksanakan mengikut keperluan serta kesesuaian kementerian ini. Setiausaha Agung, Rosdi Amir menyatakan beberapa contoh kolaborasi yang berjaya dilaksanakan bersama badan atau agensi lain dalam kempen membanteras rasuah, termasuk kejayaan kempen menampal stiker yang tercatat dalam “the Guiness Book of Records”.

Cadangan kempen tersebut menarik perhatian YB Menteri. Beliau menyatakan minat agar kempen yang sama boleh dijalankan bersama KUSKOP yang mempunyai 10 agensi termasuk AIM, TEKUN serta beberapa agensi lain bagi memperkasa budaya integriti dan antirasuah. Penyertaan pelbagai agensi di bawah kementerian ini akan dapat mencatat rekod terbaik yang sama.

Projek Video Ringkas juga dibentangkan dan mendapat respons positif daripada YB Menteri. Beliau menyatakan persetujuan untuk bekerjasama bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan bersama MCW.

Setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan dan kerjasama YB Menteri yang menyatakan komitmen dengan meluluskan peruntukan bagi melaksanakan program-program antirasuah yang dicadangkan dalam perbincangan hanya selama 45 minit. Sokongan ini amat bermanfaat bagi menjayakan matlamat membina budaya bebas rasuah dan meningkatkan integriti dalam kalangan masyarakat Malaysia.