JAKARTA, 16 November- Setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada Tuan Presiden, Jais Abdul Karim atas pembentangan kertas kerja yang bertajuk ‘Preventing The Misuse of Laws to Avade Accountability’ pada Persidangan Antirasuah Sedunia (WACC 2023) anjuran Institut Strategi Antarabangsa (ISI) dan Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) Indonesia di Hotel Royal Kuningan hari ini.
Perkongsian ilmu yang disampaikan oleh beliau membawa aras pencapaian Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) ke peringkat antarabangsa.
Delegasi MCW yang turut hadir sebagai peserta persidangan ini ialah Penasihat Ulung, Dr. Yahya Mat Hassan, Pengerusi Ahli Lembaga Penasihat, Dato’ Abdul Wahab Harun dan Setiausaha Agung MCW, saudara Rosdi Amir.
Tema WACC 2023 tahun ini, ‘Menuju Masa Depan Bebas Rasuah: Memperkukuh Tatakelola Global Bersama-sama’ yang menekankan pentingnya kerjasama rentas sempadan dalam memerangi rasuah, pelanggaran undang-undang dan memastikan akauntabiliti untuk tatakelola yang bersih.
WACC 2023 ini dirasmikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. Dalam ucaptama, beliau berkata SPRM akan lebih memfokuskan kepada keberkesanan pencegahan rasuah, meningkatkan tatakelola perkhidmatan kerajaan, integriti awam dalam pentadbiran dan syarikat berkaitan. Tan Sri Azam juga menyentuh mengenai pelan strategi antirasuah yang akan ditambah baik untuk menangani masalah rasuah dalam negara.
Persidangan tahun ini menampilkan beberapa panel berkaitan antirasuah dari Malaysia, Indonesia, Australia, Jepun, Brunei, Singapura, Korea Selatan, Filipina dan Myanmar yang membincangkan pelbagai topik dan strategi membanteras rasuah di negara masing-masing.
Selain itu, persidangan ini juga merupakan satu usaha yang baik kerana setiap panel menyampaikan maklumat berdasarkan kaji selidik, berkongsi pengalaman dan praktis atau kaedah menangani rasuah di negara masing-masing. Hasil daripada perkongsian ini akan dipertimbangkan untuk memantapkan inisiatif dalam merangka NACS 2024-2029 yang akan dilancarkan bagi menggantikan NACP 2019-2023.
Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Dato’ Syed Md Hasrin Tengku Hussin, Penasihat Kehormat ISI Malaysia, Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Pengerusi ISI, Cheah Chyuan Yong.
(Info dipetik dari sumber BERNAMA)