SIMPTOM-SIMPTOM PERILAKU JENAYAH RASUAH (BAB 25)
Perilaku jenayah rasuah berlaku seumpama seorang itu yang menghadapi masalah kesihatan atau penyakit. Ada kalanya mereka tidak sedar mereka ada tanda-tanda atau simptom penyakit sehinggalah dapat dikesan apabila telah mengalami masalah kesihatan yang kritikal, jatuh sakit atau setelah dia menjalani pemeriksaan doktor, barulah sedar bahawa dia telah menghadapi masalah kesihatan yang serius.
Ada kalanya tiada simptom penyakit, sebaliknya terus pengsan atau meninggal dunia, terjatuh sewaktu bersukan dan apabila dibuat bedah siasat, barulah mendapat tahu dia diserang penyakit jantung atau sebagainya. Begitu juga dengan gejala penyakit jenayah rasuah, Ketua Jabatan atau majikan kalanya tidak menyedari bahawa ramai dalam kalangan pegawai bawahannya terlibat dengan amalan jenayah rasuah.
Malah Ketua Jabatan atau majikan tidak menyedari atau gagal mengesan perbuatan tersebut yang telah lama berlaku. Ada juga keadaan di mana, majikan hanya menyedari perbuatan terkutuk pegawai bawahannya itu apabila mereka telah disiasat atau ditangkap oleh SPRM.
Terdapat beberapa simptom atau tanda-tanda yang mengaitkan individu terlibat dengan perlakuan jenayah rasuah khususnya ahli-ahli politik yang menjadi anggota pentadbiran, pegawai awam atau swasta.
Antaranya adalah;
1. Tabiat suka hidup mewah dan perubahan gaya hidup secara mendadak dan tidak sepadan dengan pendapatan bulanan yang diterima seperti memiliki barang kemas dan perhiasan berlebihan, mempunyai kereta mewah atau di luar kemampuannya, memiliki hartanah yang banyak, sering melancong ke luar negara, terlibat dengan perjudian, berfoya-foya dan kerap kali mengunjungi pusat-pusat hiburan adalah tanda-tanda wujudnya perlakuan jenayah rasuah dan berlaku pelanggaran tatakelakuan di jabatan atau agensi berkenaan:
2. Apabila ada dalam kalangan kakitangan yang kerap kali berkerja berseorangan di kawasan sulit atau jauh dari pandangan kakitangan lain terutamanya di waktu rehat atau selepas waktu pejabat walaupun bebanan kerja diberikan kurang. Di samping itu kerap membuat panggilan telefon yang panjang dan penuh kerahsiaan:
3. Ada juga tanda-tanda perlakuan jenayah tersebut dapat dilihat apabila seseorang kakitangan itu melakukan kerja dalam keadaan tiada konsisten di dalam produktiviti atau penyiapan tugasan diberikan oleh majikannya walaupun tiada tekanan pegawai atasannya dan dia tidak menghadapi masalah kesihatan. Contohnya berlaku tunggakan kerja yang banyak walaupun kerja diberikan sepatutnya dapat diselesaikan dalam tempoh singkat. Adakalanya dia menyegerakan tugasan tertentu sahaja dan meninggalkan atau menangguh tugasan yang lain;
4. Seseorang kakitangan yang terlibat dalam urusan-urusan lain dalam jabatan atau syarikat secara berlebihan tanpa ada kaitan dan arahan oleh pihak atasannya, terutamanya melibatkan urusan memproses permohonan tender, lesen, pembelian peralatan pejabat, pengurusan dan pengawasan projek juga menimbulkan persepsi bahawa seseorang itu terlibat dengan perilaku jenayah rasuah;
5. Ada dalam kalangan mereka mempunyai hubungan yang terlalu rapat dengan pembekal-pembekal atau kontraktor-kontraktor tertentu sehinggakan ada dalam kalangan para kecuali pegawai pembekal atau kontraktor tersebut pula tidak mahu atau enggan berurusan dengan pegawai lain berkenaan. Pegawai ini pula kerap kali keluar makan bersama atau melancong ke luar negara bersama-sama kontraktor tertentu;
6. Tanda-tanda tersebut akan lebih terserlah apabila dalam kalangan pegawai awam atau agensi kerajaan gagal mengisytiharkan harta kepada pihak berkuasa apabila diarahkan, mengenai punca-punca perolehan harta berlebih-lebihan itu. Hal ini menimbulkan syak wasangka bagaimanakah mereka memperoleh sumber kewangan yang banyak dan tidak sepadan dengan pendapatan serta tiada sumber pendapatan lain selain dari gaji bulanan:
7. Apatah lagi jika ada pengaduan atau tohmahan yang telah diterima terhadap kakitangan tersebut sama ada melalui surat layang atau panggilan telefon mengenai perlakuan jenayah rasuah yang dilakukan; dan
8. Ada juga berlaku dimana pegawai terlibat tidak mahu ditukar ke tempat lain atau bahagian lain dalam jabatan sama walaupun dia sudah bertugas di jabatan itu terlalu lama atau bebanan kerja banyak setiap hari. Ada ketikanya dia tidak mahu dinaikkan pangkat sekiranya melibatkan pertukaran kerja di tempat lain.
Berasaskan tanda-tanda tersebut dapatlah dirumuskan bahawa tingkah laku atau perilaku sedemikian itu mudah menimbulkan satu persepsi yang tidak baik ke atas pegawai berkenaan atau pihak lain, berkemungkinan besar dia terlibat dengan perlakuan jenayah rasuah.
Adalah menjadi tanggungjawab pegawai atasan supaya prihatin dan peka dengan situasi sedemikian serta mengambil langkah pencegahan awal. Sekiranya simptom tersebut menjurus kepada berlakunya jenayah rasuah atau kesalahan jenayah lain yang serius, mereka perlu melaporkan kepada pihak berkuasa berkenaan sama ada SPRM atau Unit Integriti agensi badan awam berkaitan.
Nota: Buku Memerangi Jenayah Rasuah -Panduan Pencegahan, Pelaporan dan Perlindungan Pemberi Maklumat ini ditulis oleh Datuk Mohamad Fauzi Husin, Pengarah SPRM Kuala Lumpur.