Respons Media MCW Berhubung Isu Rasuah Perkhidmatan Awam

*Respons Media MCW*
19 Oktober 2023

*Berhubung dengan isu rasuah dalam perkhidmatan awam yang dilihat semakin serius, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) ingin menegaskan tindakan drastik perlu dilakukan dengan lebih tegas sebelum masalah ini merebak lebih parah.*

1. Masalah rasuah dalam sektor awam ini umpama ‘warisan’ yang ditinggalkan oleh orang atasan yang mengajar orang baru untuk menerimanya sebagai amalan kebiasaan dan menyebabkan gejala ini sukar dibendung.

2. Berdasarkan liputan atau laporan dari pihak media dan SPRM, kes-kes rasuah yang melibatkan penjawat awat adalah atas faktor pematuhan Integriti dikalangan mereka yang sangat rendah dan ia kelihatan amat menakutkan.

3. Walaupun begitu, jumlah kes yang dilaporkan kelihatan banyak tetapi hakikatnya hanya membabitkan segelintir penjawat awam sahaja. Senario ini umpama duri dalam daging. Perlakuan segelintir penjawat awam ini merosakkan nama perkhidmatan awam dan imej Malaysia secara keseluruhannya.

4. MCW menekankan agar pelaksanaan ujian psikometrik penjawat awam diperkasa dan diperkemaskan selaras dengan teknologi terkini bagi mengenal pasti golongan berisiko. Setiap pegawai kerajaan khususnya agensi penguat kuasa mesti diwajibkan menduduki ujian psikologi atau ‘psikometrik’ setiap tahun untuk menguji tahap integriti dan pemahaman berkenaan integriti.

5. Penguatkuasaan Undang-undang dan hukuman terhadap penjawat awam yang terbukti korup mesti lebih tegas dan berat tanpa bertangguh.

6. Motivasi kesedaran dan pendidikan secara berterusan tidak boleh diabaikan kerana ia mempunyai impak yang tinggi. Keberkesanan latihan, etika dan kesedaran tentang bahaya rasuah perlu ditingkatkan.

7. Pemantauan Kewangan: Audit berterusan terhadap perbelanjaan awam dapat membantu mengesan sebarang ketirisan dan penyalahgunaan dana.

8. Percepatkan proses perolehan kontrak awam agar tiada ruang untuk sogokan. Redakan birokrasi yang berlebihan kerana ianya pasti dapat menutup ruang dan peluang mereka melakukan rasuah.

9. Penggunaan kaedah pendigitalan dalam sistem kontrak dan tender perlu dilaksanakan secara teliti agar dapat menutup peluang sogokan.

10. Proses tuntutan bayaran kontraktor juga perlu lebih telus dan mudah dipantau. Laporan berkaitan transaksi kewangan mesti boleh diakses oleh masyarakat prihatin.

11. Faktor persekitaran dikatakan sebagai penyebab penjawat awam menerima sogokan. Persekitaran yang korup dan tekanan sosial yang tinggi menjadi punca utama mempengaruhi gejala ini. Dalam hal ini, penting untuk mencipta persekitaran pembudayaan antirasuah, integriti dan kejujuran dalam setiap urusan perkhidmatan awam.

*Justeru, MCW menyeru seluruh rakyat Malaysia dan pihak berkuasa berganding bahu serta memberikan kerjasama dalam usaha mengatasi masalah rasuah dalam sistem perkhidmatan awam agar lebih amanah serta telus terutamanya dalam pengurusan dana awam demi kesejahteraan negara bangsa.*

JAIS ABDUL KARIM
Presiden