1. APAKAH TINDAKAN YANG BOLEH DILAKUKAN OLEH SPRM UNTUK BETUL-BETUL BERTINDAK BAGI MEMBANTERASKAN RASUAH BUKANNYA PENDAKWAAN BERPILIH ATAU DENDAM POLITIK?
SPRM selaku agensi antirasuah tunggal di negara ini telah melaksanakan pelbagai usaha dan tindakan dalam memastikan mereka beroperasi secara bebas dan mengelakkan dituduh membuat siasatan terpilih atau bermotif politik. Para pegawai SPRM bukanlah ahli aktif mana-mana parti politik.
Buktinya, secara pentadbiran SPRM adalah entiti bebas dan berasingan daripada pengaruh politik atau pihak luar. Yang perlu diperbaiki segera adalah berkenaan bajet tahunan dan kuasa membuat keputusan sendiri berkenaan perjawatan yang masih tergantung kepada agensi lain.
Akta SPRM 2009 sendiri perlu dibuat pembaharuan bagi memastikan SPRM beroperasi dalam rangka undang-undang yang lebih kukuh yang menyediakan perlindungan jelas sebagai bukti tiada campur tangan politik. Undang-undang tersebut perlu melindungi kebebasan SPRM dan menyediakan mekanisme kawalan dan imbangan yang mencukupi secara lebih jelas mengikut peredaran zaman.
Pelantikan dan tempoh Jawatan Pegawai SPRM mestilah melalui proses yang telus dan berdasarkan kebolehan, memastikan mereka berkelayakan dan tidak berat sebelah. Tempoh jawatan mereka perlu dilindungi untuk mengelakkan pemecatan sewenang-wenang atau tekanan politik. Pelantikan orang luar ke dalam SPRM adalah punca masalah yang cukup besar.
SPRM perlu menjalinkan kerjasama dengan organisasi antarabangsa dan badan antirasuah negara lain bagi memperkukuhkan kredibiliti dan membolehkan siasatan rentas sempadan serta akses kepada kepakaran dan mengurangkan risiko pengaruh politik.
SPRM juga perlu meningkatkan pelaksanakan latihan berterusan dan peluang pembangunan profesional kepada kakitangan mereka bagi meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan membantu mengekalkan tahap profesionalisme yang tinggi serta mengurangkan potensi tindakan berat sebelah.
Peningkatkan kesedaran awam tentang rasuah dan kesannya yang merugikan juga adalah amat penting. Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM disarankan untuk lebih agresif dalam mendidik rakyat tentang mandat, peranan dan proses kerja SPRM untuk membina kepercayaan dan sokongan awam serta mengurangkan potensi campur tangan politik.
Dengan melaksanakan langkah-langkah tersebut, MCW yakin tuduhan terhadap SPRM akan dapat dielakkan bahkan kredibiliti SPRM akan meningkat dan tiada ‘orang politik’ yang berani mempengaruhi mereka.
2. MANAKALA APA YANG KITA DAPATI, KEBANYAKKAN AHLI POLITIK TIDAK HIDUP SEDERHANA, MALAH TIBA-TIBA ADA KEMEWAHAN SENDIRI. BERKEMUNGKINAN, AHLI POLITIK BOLEH TERLIBAT DALAM RASUAH DAN PENYALAHGUNAAN KUASA. JADI APA KOMEN DARI TUAN?
Telah menjadi ‘adat’ kepada ahli politik di negara ini yang tiba-tiba menjadi kaya semasa mereka berkuasa. Syak dan kebimbangan mengenai kemungkinan penglibatan mereka dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa pasti ada. Walaupun ia tidak secara automatik menunjukkan rasuah, peningkatan kekayaan yang ketara boleh menjadi petunjuk jelas potensi penglibatan mereka.
Penimbunan kekayaan secara tiba-tiba boleh menunjukkan bahawa ahli politik terlibat dalam amalan rasuah, seperti menerima suapan, menggelapkan dana awam atau terlibat dalam aktiviti kewangan haram. Rasuah melibatkan penyalahgunaan kuasa untuk keuntungan peribadi dan boleh memberi kesan yang merugikan terhadap pembangunan dan kesejahteraan negara.
Ahli politik yang mengumpulkan kekayaan semasa berkhidmat pastinya telah menyalahgunakan kuasa mereka dan memanipulasi sumber kerajaan untuk keuntungan kewangan peribadi. Mereka boleh terlibat dalam nepotisme dan kronisme seperti mengkayakan individu tertentu sama ada rakan atau ahli keluarga dengan memberikan kontrak, projek, atau faedah yang berkaitan.
Sesetengah ahli politik juga mengeksploitasi kedudukan mereka untuk terlibat dalam aktiviti perniagaan haram, memanfaatkan maklumat dalaman atau perlakuan curang bagi mengumpulkan kekayaan. Mereka berpotensi menggunakan hubungan politik mereka untuk mendapatkan kontrak yang menguntungkan atau terlibat dalam amalan perniagaan rasuah.
Peningkatan kekayaan secara tiba-tiba boleh menjadi petunjuk pencucian wang, di mana dana yang diperoleh secara haram diubah sebagai pendapatan atau pelaburan yang sah. Ahli politik boleh menggunakan skim kewangan yang kompleks atau akaun di luar negara untuk menyembunyikan asal-usul dana tersebut dan menggabungkannya ke dalam sistem kewangan yang sah.
Kekayaan yang tiba-tiba ahli politik menyoroti kepentingan ketelusan dan tanggungjawab dalam jawatan awam. Jika terdapat mekanisme pemantauan yang lemah, pengisytiharan kewangan yang tidak memadai, atau pemeriksaan terhadap harta ahli politik yang terhad, menjadi lebih mudah untuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa tidak dikesan.
Adalah penting untuk pihak berkuasa terutamanya SPRM menyiasat sebarang kecurigaan rasuah atau penyalahgunaan kuasa apabila ahli politik mengalami peningkatan kekayaan yang ketara semasa berkhidmat. Langkah-langkah pencegahan rasuah yang kukuh, termasuk pemantauan bebas, keperluan pengisytiharan kewangan, dan penguatkuasaan undang-undang yang berkesan, memainkan peranan penting dalam memerangi rasuah dan memastikan pegawai awam bertanggungjawab atas tindakan mereka.
3. ADAKAH MALAYSIA PERLU MENGGUNAKAN SISTEM SEPERTI SINGAPURA, DIMANA CARA UNTUK MENGESAN AKTIVITI PECAH AMANAH DAN RASUAH DAPAT DIBANTERASKAN?
Malaysia boleh mempertimbangkan untuk belajar dari pengalaman dan amalan terbaik negara-negara lain termasuk Singapura dalam memerangi rasuah. Singapura telah terbukti berjaya melaksanakan langkah-langkah antirasuah yang kukuh dan mendapat reputasi sebagai negara dengan tahap rasuah yang rendah. Kita tidak mungkin dapat meniru 100% kaedah mereka namun banyak yang boleh dipelajari dan strategi berkesan mereka boleh disesuaikan penggunaannya.
Singapura mempunyai rangka kerja undang-undang yang ketat dan terkini serta komprehensif pelbagai aspek rasuah, termasuk pencegahan, siasatan, dan pendakwaan. Fokus mereka terhadap kaedah pengisytiharan harta dan perlindungan pengadu isu rasuah boleh dipelajari untuk segera dilaksanakan.
Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura adalah agensi ditakuti dan dihormati oleh rakyat mereka kerana keberanian siasatan dan bebas.CPIB dikatakan bebas daripada sebarang campur tangan politik dan mempunyai kuasa yang mencukupi untuk menyiasat dan mendakwa kes rasuah. SPRM juga sama seperti itu nampaknya dari aspek ini.
CPIB melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang berkesan dengan menakutkan penjawat awam dari melakukan jenayah rasuah. Mereka fokus mempromosikan ketelusan, akauntabiliti, dan integriti dalam sektor awam dan swasta melalui mekanisme seperti pengisytiharan harta wajib bagi pegawai awam, peraturan konflik kepentingan dan sistem kawalan dalaman yang kukuh dalam agensi kerajaan dan syarikat.
Singapura jelas melabur dalam jumlah yang besar untuk kempen pendidikan, program latihan dan inisiatif yang menggalakkan tingkah laku etika dan menggalakkan rakyat untuk melaporkan rasuah. Kita agak berkira dalam aspek ini.
Adalah penting bagi Malaysia untuk membangunkan pendekatan yang sesuai dengan konteks, sistem undang-undang dan kerangka institusi dalam negara kita sendiri. Dengan mengambil pengajaran dari langkah Singapura, Malaysia diharapkan dapat memperkuat usaha memerangi rasuah dan mempromosikan tadbir urus yang baik.
4. ADAKAH KESUKARAN DALAM MEMBANTERASKAN RASUAH DI NEGARA KITA, ADALAH BERPUNCA DARIPADA PILIH KASIH?
Ya, saya bersetuju bahawa sikap pilih kasih merupakan salah satu faktor yang menyulitkan usaha membenteras rasuah di Malaysia. Sikap pilih kasih merujuk kepada perlakuan tidak adil di mana sesetengah individu atau kumpulan diberikan perlindungan atau kekebalan daripada tindakan undang-undang atau siasatan rasuah berdasarkan pertimbangan politik, kedudukan, atau hubungan peribadi.
Jika pemimpin politik parti mereka sendiri yang didakwa maka mereka akan membantah sekeras-kerasnya dan mengatakan bahawa ianya adalah dendam politik malah SPRM dituduh berat sebelah dan menjadi senjata politik parti kerajaan terutamanya. Jika pemimpin parti lawan yang terkena maka mereka terlompat kegembiraan dan segera mengeluarkan pelbagai tuduhan kesat. Inilah pilih kasih yang sedang berlaku dalam negara kita dewasa ini.
Begitu juga di agensi atau jabatan kerajaan, jika pegawai yang rapat dengan mereka dituduh rasuah, pegawai atasan akan bersikap ‘in denial mode’ dan menyimpan masalah itu dibawah tikar. Jika yang dituduh itu ialah pegawai yang mereka tidak sukai kerana selalu menentang mereka maka kes itu akan segera dibesar-besarkan. Maka pegawai itu akan segera ‘dipeti-sejukkan’. Sikap pilih kasih ini masih berlaku hingga sekarang.
Sebagai seorang manusia, kita pasti ada sikap berat sebelah dan pilih kasih walaupun sedikit. Kita pasti perneh mengalami atau terlihat bagaimana disayangi membuat suatu satu kesalahan akan ditegur dan diajar dengan lebut sebaliknya jika orang itu dibenci, walau sekecil mana pun kesalahan, akan ditengking dan dihampur dengan segala kata seranah.
Jika penyiasatan dan pendakwaan rasuah dipengaruhi oleh sikap pilih kasih, individu atau kumpulan yang berkuasa atau mempunyai hubungan politik yang kuat mungkin terlepas daripada pertanggungjawaban. Ini memberi kesan negatif kepada keadilan dan menghakis kepercayaan awam terhadap sistem keadilan.
Sikap pilih kasih boleh menyebabkan keengganan untuk menyiasat atau mendakwa individu yang terlibat dalam rasuah, terutamanya jika mereka memegang jawatan politik yang berpengaruh. Perlindungan semacam itu menghalang keberkesanan agensi antirasuah dan melemahkan usaha untuk memerangi rasuah secara menyeluruh.
Untuk membenteras rasuah secara berkesan, penting untuk memastikan bahawa prinsip-prinsip keadilan, ketelusan, dan kesaksamaan diterapkan dalam sistem perundangan dan proses siasatan. Sikap pilih kasih harus diperangi melalui peningkatan ketelusan, kebebasan agensi antirasuah daripada campur tangan politik dan penegakan undang-undang yang adil.