PUTRAJAYA, 22 September – Seramai 27 anggota delegasi Program Lawatan Ilmiah MCW kali ke-4 yang diketuai oleh Presiden MCW, Jais Abdul Karim ke Mesir mengadakan pertemuan khas bersama Tan Sri Azam Baki, KP SPRM untuk memberi keterangan lengkap mengenai tujuan lawatan yang akan diadakan sempena sambutan Hari Rasuah Antarabangsa (HARA) pada 9 Disember 2022 nanti dengan kerjasama kedutaan Malaysia di Kaherah.
Dalam pertemuan tadi, Tan Sri KP memaklumkan bahawa beliau baru pulang dari lawatan kerja ke Qatar dan Mesir. Pelbagai pertemuan yang diatur atas kemahuan kedua – dua buah kerajaan dan negara tersebut dan berjalan dengan lancar. Malah mereka bersedia untuk belajar dan bekerjasama dengan Malaysia.
Tan Sri KP juga berharap rombongan MCW dapat mengumpulkan pelbagai dapatan penting mengenai isu atau gerakan antirasuah di sana. Dapatan hasil pemerhatian tersebut boleh dikongsi dengan seluruh rakyat Malaysia.
SPRM juga akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada program ini dan menghantar pegawai SPRM yang terpilih bagi menyertai rombongan ini sebagai pegawai pengiring.
Presiden MCW juga memaklumkan bahawa setiap peserta lawatan ini sanggup membiayai perbelanjaan masing-masing dengan wang sendiri kerana tidak mahu terlepas peluang untuk mempelajari sesuatu yang unik dan berbeza dari negara luar.