SPRM jangan pilih bulu
KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semestinya tidak “pilih bulu” dalam tindakan menyiasat, mendakwa dan membuat tangkapan terhadap ahli politik yang bertaraf menteri, timbalan menteri dan pegawai mereka di setiap kementerian yang terlibat dengan kes rasuah.
Menurut Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, walaupun saranan tersebut sering kali disuarakan,komitmen suruhanjaya tersebut untuk mendedahkan kes rasuah yang melibatkan penjawat awam adalah amat perlu dan dialu-alukan.
“Sehubungan dengan itu, SPRM perlu mempercepatkan proses siasatan bagi mengelak persepsi negatif masyarakat awam.
“Perhebatkan teknik dan kaedah penyiasatan bagi memastikan perasuah tidak dapat memanipulasi dan menghapuskan bahan bukti,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jais berkata, bagi membendung jenayah rasuah yang berlaku pada era teknologi maklumat yang semakin canggih, SPRM sewajarnya memperbaharui teknik dan kaedah penyiasatan yang terkini.
Katanya, pembaharuan ini sekali gus akan dapat meningkatkan kualiti serta kuantiti penyiasatan kes rasuah.
“MCW dan seluruh rakyat Malaysia komited untuk menyokong SPRM dalam usaha memerangi dan membanteras rasuah dalam negara,”katanya. — BebasNews